Select Page

“Ng Tze Yong mesti beraksi di Olimpik Paris” – Lee Chong Wei

“Ng Tze Yong mesti beraksi di Olimpik Paris” – Lee Chong Wei

NG Tze Yong tetap perlu beraksi di temasya Sukan Olimpik Paris 2024, meskipun tidak menjadi sandaran pingat.

Legenda badminton tanahair, Datuk Lee Chong Wei berkata, Tze Yong yang kini berada di ranking ke-28 dunia, mempunyai peluang untuk lolos ke saingan Olimpik dan hanya perlu menempatkan diri dalam kelompok 16 pemain perseorangan lelaki terbaik dunia sahaja.

“Saya tahu peluang untuk dia (Tze Yong) dapat pingat agak sukar kerana itu temasya terbesar dunia, tapi setidak-tidasknya Tze Yong menimba pengalaman berharga.

“Jika bukan sekarang, Tze Yong terpaksa menunggu empat tahun lagi, jadi dia perlu dapatkan keputusan terbaik, masuk kelompok 16 dan layak, kemudian alami sendiri bagaimana tekanan di pentas Olimik,” kata Chong Wei, yang juga dikenali sebagai ‘Raja Siri Super’ berikutan dominasinya di pentas saingan antarabangsa.

Datuk Lee Chong Wei mahu Ng Tze Yong ambil kesempatan atas peluang terbaik Ng Tze Yong layak ke Olimpik Paris, kerana temasya 2028 terlalu jauh untuk diramal.

Chong Wei berkata, Tze Yong yang kini menganjak usia 23 tahun tidak boleh menunggu peluang ke Olimpik 2028 kerana tidak tahu apa akan berlaku di masa hadapan.

Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya untuk Tze Yong meninggalkan impak, dengan menghasilkan keputusan-keputusan positif pada kejohanan-kejohanan yang disertai, bermula dengan jelajah Eropah bulan ini.

Pemenang tiga pingat perak di tiga Sukan Olimpik berturut-turut itu percaya, Tze Yong mampu melakukannya dengan meletakkan dirinya sebagai contoh, mengambil masa 11 bulan untuk bangkit daripada ranking 182 ke nombor satu dunia dalam usaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016, selepas terpalit isu doping pada 2014, yang menyebabkan digantung Persekutuan Badminton Dunia (BWF) daripada menyertai mana-mana kejohanan selama lapan bulan pada 2014.

Ng Tze Yong dapatkan keputusan terbaik bagi menempatkan diri dalam kelompok 16 pemain terbaik, sekali gus layak ke Olimpik Paris 2024.

“Dia perlu bekerja keras dan tahu apa yang dimahukan. Saya tahu dia muda tetapi Olimpik tidak menunggu anda. Olimpik sangat berbeza jika dibandingkan dengan kejohanan-kejohanan lain kerana ia berlangsung empat tahun sekali.

“Semua pemain impikan untuk bermain di sana, sebab itu saya mahu Tze Yong guna peluang yang ada setahun ini bagi memberikan sepenuh fokus, sekali gus layak ke temasya Olimpik,” katanya.

Chong Wei pastinya berpeluang untuk memberi tunjuk ajar secara dekat kepada pemain kelahiran Johor itu memandangkan beliau merupakan salah seorang yang berada dalam Panel Penasihat Teknikal Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Saya sedia membantu, BAM (Persatuan Badminton Dunia) perlukan saya, pasti saya bantu, saya mahu berikan semula apa yang sudah saya dapat selama ini,” jelasnya.

Video Terkini

Loading...