KETUA Pegawai Eksekutif Sukma 2024, Datu Hii Chang Kee turun padang untuk memberi taklimat keselamatan kepada pegawai dan peserta yang terlibat dalam Majlis Perasmian Pembukaan Sukma 2024.
Beliau menyatakan dalam taklimat keselamatan itu bahawa satu jawatankuasa keselamatan telah ditubuhkan dan dianggotai oleh PDRM bagi mengawal keselamatan atlet dan venue di setiap bahagian yang menjadi tuan rumah acara sukan Sukma Sarawak 2024.
Jelasnya, langkah ini termasuk memastikan pergerakan atlet dan pegawai negeri di setiap gelanggang sukan berjalan lancar dan selamat.
Beliau turut menegaskan jawatankuasa berkenaan diharap akan terus menerajui gerak kerja cemerlang sepanjang persiapan dan penganjuran Sukma 2024.
Tambahnya, kejayaan acara ini boleh menjadi penanda aras kepada keupayaan Sarawak menganjurkan temasya sukan yang lebih besar pada masa hadapan.
Program ‘Meet & Greet’ Pegawai dan Penghibur Majlis Perasmian Pembukaan Sukma 2024 yang akan berlangsung di Stadium Sarawak pada Ahad ini, bertujuan memastikan segala persiapan keselamatan berada dalam keadaan terbaik menjelang temasya sukan terbesar negara yang bakal berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos 2024.
Antara agensi yang terlibat dalam memastikan keselamatan ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Persatuan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).