EDISI sulung Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 bakal menyajikan aksi yang bertenaga dan memukau para peminat sukan tempur ini yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Kuching 27 Februari hingga 5 Mac depan.

Sebanyak 16 buah negara dengan hampir 800 pesilat dijangka menghangatkan saingan buat julung kali penganjuran kejuaraan silat antarabangsa di Sarawak Bumi Kenyalang.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Sarawak telah bersedia untuk menganjurkan sebuah lagi acara silat yang berkelas dunia selain menerima kehadiran ribuan pencinta silat dunia menyaksikan kejohanan tersebut.

“Sarawak sudah bersedia untuk membuka gelanggang bagi pesilat dari 16 buah negara untuk bertarung. Malah, persiapan dari segi logistik juga kini berada pada tahap terbaik menjelang kejuaraan bertaraf premier ini.

“Sambutan bagi edisi sulung ini amat baik apabila negara seperti Indonesia, Singapura, Pakistan, United Kingdom akan turut serta menghangatkan bandar Kuching sepanjang seminggu penganjuran,” tambahnya.

Bagi penganjur Rumpun Silat Sarawak (RSS), penganjuran Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 ini akan menjadi penanda aras dan perintis untuk RSS menganjurkan kejohanan siri silat Sarawak secara tahunan di masa akan datang.

Menurut Timbalan Presiden RSS, Datuk Mohamad Yusnar Haji Matalie, pihaknya komited untuk memastikan perjalanan kejohanan ini berlangsung dengan baik.

“RSS mahu penganjuran edisi sulung ini dapat dijayakan dengan baik dan cemerlang. Malah, pihak kami tidak mahu menjadikan kejohanan ini sebagai ‘one-off’ sahaja, sebaliknya berhasrat menganjurkan Kejohanan Siri Silat Sarawak sekaligus bakal mencipta sejarah kerana Malaysia belum pernah menganjurkan kejohanan seperti itu,

“Saya juga amat teruja untuk menyambut kehadiran warga silat dunia ke Bumi Kenyalang pada bulan depan. Saya berharap para pesilat dapat mempamerkan aksi berkelas dunia serta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi seiring dengan nilai yang dimiliki oleh seorang pesilat.

Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 menawarkan hadiah wang tunai berjumlah USD20,000 bagi juara keseluruhan serta buat kali pertama tali pinggang kejuaraan diperkenalkan bagi juara keseluruhan.

Bagi menambahkan lagi kemeriahan, pelbagai program menarik bagi menghangatkan penganjuran antaranya acara Larian Pendekar, Pesta Makanan, Festival Kebudayaan anjuran Majlis Seni Sarawak.