PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui melakukan pertukaran posisi pada babak kedua untuk memastikan Harimau Selatan berjaya menembusi benteng Sri Pahang dalam aksi Liga Super pada Selasa.

Ini selepas anak-anak buahnya tidak berjaya menjelmakan jaringan pada babak pertama di Stadium Sultan Ibrahim dan dia gembira perubahan yang dilakukan membuahkan hasil sebaik sahaja aksi babak kedua bersambung.

Bagaimanapun Hector sedar akan tahap kesukaran perlawanan ini dengan Sri Pahang bermain secara berdisipin dan memuji kesungguhan yang ditunjukkan meskipun kecewa kerana dibolosi dan mahu perkara ini diperbaiki.

Hector akui perubahan posisi pemain beri perubahan pada babak kedua.

“Seperti yang dijangka, ianya satu perlawanan yang sukar dengan lawan bermain dengan kompak tetapi bagi saya, apa yang menjadi perbezaan pada kedua-dua babak adalah posisi kami.

“Pada babak pertama, posisi kami tidak tepat kerana meskipun pemain bergerak tetapi mereka tidak berada di tempat yang betul. Kami perbaiki untuk babak kedua dengan ‘wing back‘ kami bermain lebih lebar dan penyerang berada di dalam kotak penalti dan ianya berjaya menjadikan satu permainan berpasukan yang baik.

“Saya tidak suka untuk dibolosi tetapi ini adalah bola sepak dan kita perlu perbaiki untuk mengelak kesilapan yang sama serta memastikan kami terus berkembang pada setiap perlawanan untuk terus konsisten mencipta kemenangan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Arif Aiman masih bermain sebagai satu pasukan walaupun tidak berjaya jaringkan gol.

Hector juga sedar akan penurunan prestasi Arif Aiman dalam beberapa permainan namun dia tidak bimbang kerana padanya, pemain paling bernilai itu masih menjalankan tugas yang baik sebagai satu pasukan.

“Arif bermain baik sebagai satu pasukan dan dia banyak membantu pasukan tetapi saya tahu bukan mudah untuk kekalkan tahap terbaik pada semua permainan terutama dalam perlawanan yang sukar seperti ini bukan sahaja untuknya tetapi juga buat semua pemain,” jelasnya.

Dua jaringan daripada Bergson Da Silva serta gol sendiri Adam Nor Azlin memastikan JDT meraih tiga mata untuk kekal menerajui liga dengan 11 menjelang tahun baharu 2025.