KETUA jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, menegaskan pasukannya masih perlu memperbaiki aspek serangan walaupun berjaya mencatat kemenangan tipis 0-1 ke atas Penang FC dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Bandaraya, pada Ahad.
Kinoshi turut memuji ketahanan pertahanan pasukannya yang berjaya mengekang ancaman bola jauh daripada tuan rumah.
“Kami sudah menjalani latihan untuk menghadapi situasi bola jauh kerana kami menjangka Penang akan kerap menggunakan strategi tersebut.
“Walaupun kami berjaya menghalang percubaan mereka dan tidak bolos, serangan kami masih belum cukup tajam,” kata Kinoshi selepas perlawanan.
Menurutnya, Penang FC memanfaatkan kelemahan di bahagian tengah dan berjaya mencipta peluang melalui hantaran-hantaran panjang yang memberikan tekanan kepada benteng Selangor.
Namun, kerja keras pertahanan Red Giants membuahkan hasil apabila berjaya mengekalkan kelebihan satu gol hingga tamat perlawanan.
“Penang bermain sangat baik, terutamanya di bahagian tengah. Kami perlu menjalani lebih banyak latihan, bukan sahaja secara fizikal tetapi juga mental dan taktikal.
“Saya mahu kami kembali minggu depan dengan wajah yang berbeza,” tambah Kinoshi, yang turut menyeru pasukannya agar terus berkembang untuk mencipta identiti Selangor yang lebih mantap.
Mengenai hala tuju pasukannya, Kinoshi menegaskan fokus utama adalah pada perlawanan seterusnya. Beliau enggan memikirkan terlalu jauh ke depan, sebaliknya mahu memastikan pasukannya kekal konsisten dalam setiap perlawanan yang dihadapi.
“Keutamaan saya adalah perlawanan akan datang, iaitu perlawanan liga, sebelum kami menghadapi cabaran dalam Challenge Cup.
“Fokus kami adalah untuk memenangi perlawanan seterusnya dan memastikan Selangor terus melangkah ke hadapan,” katanya.
Kemenangan ini memberikan sedikit kelebihan kepada Selangor menjelang perlawanan timbal balik separuh akhir di laman sendiri.
Bagaimanapun, Kinoshi berharap anak buahnya dapat tampil lebih dominan di hadapan penyokong sendiri untuk memastikan slot ke pentas akhir menjadi milik Red Giants.