PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mempertikaikan mutu pengadilan yang disifatkan berat sebelah sehingga menjejaskan rancangannya untuk mencuri mata daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila tewas 1-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.
Fandi kesal dengan cara pengadil mengendalikan perlawanan itu yang tidak berlaku adil terhadap pemainnya yang dilayangkan tiga kad kuning manakala tiada pemain JDT dikenakan tindakan sama meskipun penyerangnya, Kpah Sherman dikasari berulang kali pada babak pertama.
Menambah rasa tidak puas hati apabila pengadil membuat keputusan yang lambat untuk merujuk video bantuan pengadilan (VAR) setelah permainan dibenarkan bersambung dan menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad Harimau Selatan pada penghujung perlawanan.
“Yang paling saya tidak senang sekali, cakap terus terang adalah mutu pengadilan. Main bola sudah macam ragbi, Kpah kena terjah beberapa kali pada babak pertama namun tidak dikenakan kad kuning dan tidak diberikan sepakan percuma, tetapi kita pula dilayangkan tiga kad kuning.
“Kita tahu JDT pasukan yang bagus, tetapi haruslah berlaku adil. Macam mana diberikan penalti bila Arif Aiman sudah terlepas bola dan dia tercampak walaupun pemain kita ‘tackle’ bersih dan VAR hanya dirujuk selepas permainan diteruskan tiga minit.
“Untuk bola sepak, ini kurang baik. Kalah menang adat permainan dan kita boleh terima kekalahan jika bertanding secara adil dan sudah memberikan segalanya atas padang, jadi saya tidak boleh terima pengadilan seperti ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Jurulatih asal Singapura itu juga turut mempertikaikan cara penggunaan VAR di Liga Malaysia walaupun ia dikatakan dikendalikan oleh mereka yang berpengetahuan luas dalam bola sepak.
“Sudah pasti VAR tidak baik kerana kita tidak tahu apa yang mereka bincangkan. Kalau di liga luar, mereka tunjukkan di skrin, bukan hanya tayang video di dalam bilik VAR sahaja dan kita juga tidak berpeluang nak tengok,” jelasnya
Di sebalik rasa kurang senang itu, Fandi memuji aksi pemainnya yang berjaya mengekang Harimau Selatan daripada menjaringkan gol pada babak pertama dengan merantai pergerakan penyerang lawan iaitu Bergson Da Silva, Heberty Fernandes dan Arif Aiman.