KEPUTUSAN seri 3-3 menentang Perak FC jelas mengecewakan harapan pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail apabila dilihat menguasai separuh masa pertama, namun gagal mengekalkan momentum untuk mencatat kemenangan.
Wan Rohaimi mengakui pasukannya jelas membazirkan kelebihan gol yang diperoleh pada separuh masa pertama, apabila kegagalan mengekalkan rentak permainan membuka ruang kepada Perak FC untuk bangkit menyamakan kedudukan.
“Alhamdulillah walaupun kita lepaskan dua mata, sekurang-kurangnya kita dapat satu mata.
“Tetapi modal dua gol separuh masa pertama kita bazirkan dengan kesilapan kita sendiri,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Wan Rohaimi turut menegaskan bahawa dia telah mengingatkan pasukannya untuk terus memberikan tekanan kepada pihak lawan.
Namun, sebaliknya berlaku apabila rentak permainan menjadi perlahan, menyebabkan Perak berjaya mendapatkan momentum untuk bangkit.
“Kita kena penalti, selepas itu nampak pemain-pemain mula hilang punca dan dari situ, kita bolos lagi satu gol.
“Untuk bangkit semula mendapatkan satu lagi gol memang agak mustahil, tapi dari segi semangat juang, kita nampak mereka bersaing habis-habisan untuk mendapatkan keputusan positif,” jelasnya.
Namun begitu, Wan Rohaimi mengingatkan pemainnya bahawa bola sepak bukan sekadar menggunakan tenaga, tetapi juga memerlukan ketajaman fikiran untuk menyelesaikan masalah di atas padang.
Selepas aksi seri ini, Penang FC bakal berdepan cabaran besar dalam Piala Cabaran apabila menentang Selangor FC pada 19 Januari nanti, juga di Stadium Bandaraya.
Ketiadaan pemain pertahanan utama, Richmond Ankrah, yang terikat dengan syarat pinjaman, menjadi isu utama buat Wan Rohaimi.
“Saya perlu mencari gandingan yang sesuai untuk kapten kita, ada masa lebih kurang lima atau enam hari untuk persiapan.
“Insyaallah, saya akan mendapatkan kombinasi terbaik, terutama di barisan pertahanan, untuk menutup kehilangan Richmond,” jelasnya lagi.
Skuad Harimau Kumbang kini menumpukan sepenuh perhatian kepada persiapan menentang Selangor FC, dengan tekad dan semangat untuk mencipta kemenangan perlawanan pertama Piala Cabaran di hadapan penyokong setia di laman sendiri.