ALEJANDRO Garnacho mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puskas FIFA selepas jaringan akrobatiknya yang menakjubkan ketika menentang Everton musim lalu.

Gol yang dilakukan pada November 2023 itu menjadi salah satu daripada 11 pencalonan untuk anugerah berprestij tersebut.

Ketika perlawanan di Goodison Park, pemain muda berusia 20 tahun itu memukau dunia bola sepak apabila melompat tinggi untuk menyambut hantaran silang Diogo Dalot dan melepaskan sepakan gunting yang mengatasi penjaga gol Everton.

 

Selepas menerima anugerah tersebut, Garnacho tidak menyembunyikan rasa bangganya, namun turut berjanji untuk mencapai kejayaan lebih besar bersama skuad Red Devils.

“Saya sangat berbangga untuk memenangi anugerah ini, ia adalah detik yang membanggakan untuk saya dan keluarga saya.

“Terima kasih kepada semua yang mengundi untuk saya, terutamanya peminat United. Ia adalah penyudah yang hebat, dan saya telah berlatih untuk ini banyak kali.

“Ia adalah gol yang istimewa dan saya akan sentiasa mengingatinya, tetapi masih banyak detik luar biasa yang akan datang bersama pasukan ini (manchester United). Kami mempunyai banyak perkara untuk dinantikan bersama-sama,” katanya yang dipetik daripada website rasmi Fifa.

Walaupun memenangi Anugerah Puskas, Garnacho kini menghadapi cabaran untuk memenangi kembali tempat dalam skuad perlawanan Ruben Amorim selepas dia dan Marcus Rashford digugurkan dalam pertembungan derby Manchester pada hujung minggu lalu.

Bintang muda ini dijangka akan berusaha keras dalam sesi latihan minggu ini untuk meyakinkan Amorim menjelang aksi suku akhir Piala Carabao menentang Tottenham Hotspur pada Jumaat.