PEMAIN Sri Pahang FC mempunyai semangat pasukan yang tinggi ketika perlawanan Liga Super 2023 menentang Selangor di Stadium Darul Makmur pada Ahad.

Jurulatih pasukan Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, persiapan yang dilakukan sepanjang waktu berehat adalah berbaloi berikutan anak buahnya menunjukkan 100 peratus usaha yang baik.

Fandi Ahmad yakin dengan kemenangan skuadnya.

“Seperti yang saya katakan, semangat pasukan Sri Pahang FC sangat kuat. Kita agak kebal ketika permainan dan kita tahu hantaran pasukan Selangor FC dapat dipatahkan.

“Masih ada beberapa peluang gol lagi untuk Sri Pahang FC. Saya risau sikit kerana kita bagus dalam 25 minit awal dan selepas itu Selangor menguasai permainan. Tetapi babak kedua permainan adalah lebih baik untuk kita,” kata Fandi dalam sesi sidang media selepas perlawanan.

Fandi Ahmad di perlawanan Liga Super 2023 menentang Selangor FC pada Ahad

Dalam masa yang sama, Fandi mengakui dia amat yakin pasukannya akan memperolehi kemenangan pada perlawanan tersebut berikutan mempunyai tempoh yang panjang untuk melakukan beberapa taktik baharu.

Fokus kepada pemain tunjang utama Selangor FC iaitu Faisal Halim, antara taktik yang digunakan oleh pasukannya adalah untuk mematahkan serangan daripada pemain berasal dari Pulau Pinang itu.

Skuad Tok Gajah meraikan kemenangan di hadapan penyokong setia. 

“Kita dapat siapkan taktik untuk patahkan permainan Faisal sebab kita perlukan pengubahsuaian apabila lawan dengan pasukan besar.

“Kita harus ada extra defender untuk cover dan hari ini taktik kita berhasil dengan semangat yang semestinya sangat keras,” ujarnya.

Bercakap mengenai pemain import baharu, Fandi menekankan Kuvondik Ruzief menunjukkan aksi yang sangat baik walaupun belum mampu beraksi untuk 90 minit permainan.

Permainan tengah Uzbekistan itu dikeluarkan selepas 80 minit permainan dan mampu menyumbang beberapa hantaran buat skuad Fandi berbanding dengan pemain dari Brazil, Rafael Silva yang dipanggil masuk sebelum 10 minit terakhir.

 

Pada aksi di Stadium Darul Makmur, gol tunggal Kevin Ingreso pada awal babak kedua menjadi pemisah untuk tiga mata bermakna skuad Tok Gajah sekaligus merampas kedudukan Selangor FC di tempat kedua dalam Liga Super.