SELANGOR FC mengumumkan kerjasama dengan pembuat jam terkemuka Jepun, Casio Malaysia Sdn Bhd bersama pengedar rasminya di Malaysia, Marco Corporation (M) Sdn Bhd yang akan menjadi penjaga masa rasmi buat Gergasi Merah sehingga musim 2024.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, Casio Malaysia dan Marco Corporation akan memberi tajaan kepada Selangor FC dalam bentuk wang tunai termasuk tajaan produk bermula sekarang hingga berakhir musim 2024 nanti.
Selangor FC pula akan memperagakan logo G-SHOCK di stadium dan semua platform sosial media rasmi semasa hari perlawanan sebagai jenama yang hebat dan memberi nilai tambah kepada penaja.
“Menerusi kerjasama ini, Casio Malaysia teruja untuk menggabungkan ketepatan teknologi Casio dengan semangat bola sepak, mewujudkan karisma kemenangan yang akan menggembirakan penyokong dan meningkatkan sukan ini ke tahap yang lebih tinggi,” kata Pengarah Urusan Casio Malaysia Sdn Bhd, Hirofumi Ino.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon pula gembira dengan kerjasama ini dan ianya sebagai bukti kesungguhan kelab sejak diterajui oleh Raja Muda Selangor.
“Bak kata pepatah, ‘kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan’, kami dengan berbesar hati menerima kerjasama ini. Selangor FC sentiasa membuka pintu kepada mana-mana syarikat yang mahu menjadi sebahagian daripada ahli keluarga kami.
“Kerjasama dengan jenama antarabangsa terkenal seperti Casio ini adalah bukti kesungguhan kelab sejak DYTM Raja Muda Selangor mengambil alih teraju pada 2019,” kata Johan.
“Matlamat kami adalah memberikan pendedahan yang lebih besar buat semua penaja kami dan memastikan perhubungan yang kukuh bersama penyokong Gergasi Merah yang bersemangat dan pada masa yang sama meningkatkan nilai kedua-dua belah pihak,” tambahnya.