PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tidak peduli dengan corak permainan bertahan yang diamalkan Kuala Lumpur City FC sebaliknya hanya mahu pemainnya fokus kepada filosofi permainan mereka.
Bidoglio gembira dengan persembahan yang ditunjukkan para pemainnya untuk meraih kemenangan 4-0 keatas KL City itu sekali gus membawa Harimau Selatan ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia dengan kelebihan aggregat 6-1.
“Kita tahu ianya adalah perlawanan yang sukar tetapi saya gembira kerana semua pemain bermain sebagai satu pasukan terutama apabila kami menggerakkan bola dari satu sisi ke satu sisi yang lain dan menguasai permainan.
“Dalam bola sepak, taktikal negatif juga adalah sebahagian daripada permainan ini dan saya pesan kepada pemain supaya kekal fokus kepada falsafah bola sepak JDT dan tidak kisah dengan taktikal bertahan yang digunakan lawan.
“Kami kekalkan corak permainan kami dan perlu terus berkembang untuk mengharungi kempen ini yang masih panjang dan mencabar,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Bekas pemain antarabangsa Venezuela itu juga tidak gentar dengan siapa pun lawan mereka di separuh akhir dan mahu pemainnya kekal fokus terutama pada sesi latihan jika mahu mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.
“Untuk bergelar juara, kami perlu kalahkan sesiapa sahaja dan apa yang penting adalah para pemain tahu akan kekuatan pasukan dan akan kekal berkembang untuk mengharungi baki musim yang sangat sukar,” jelasnya.
Dua gol dari Bergson Da Silva dan masing-masing satu dari Arif Aiman Hanapi dan Juan Muniz cukup untuk membantu JDT layak ke separuh akhir buat kali keempat berturut-turut dan akan bertemu Terengganu FC yang mengenepikan cabaran Negeri Sembilan FC 6-2 menerusi aggregat.