PASUKAN Selangor hampir mencipta kejutan di pentas Shopee Cup apabila mendahului gergasi Thailand, Buriram United, namun gol penyamaan pada masa kecederaan memaksa perlawanan pembukaan Kumpulan A di Chang Arena berakhir dengan keputusan 1-1, malam Rabu.
Skuad The Red Giants tampil berani di gelanggang lawan apabila menguasai tempo awal permainan dengan beberapa asakan berbahaya sebelum penyerang import, Chrigor Moraes, meledak gol pembukaan pada minit ke-37 untuk memberikan kelebihan kepada pasukan pelawat.
Tersentak dengan jaringan itu, Buriram cuba bangkit dengan serangan bertali arus, tetapi benteng kental Selangor serta aksi cemerlang penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz, mengekang setiap percubaan berbahaya tuan rumah.
Separuh masa kedua menyaksikan intensiti permainan semakin memuncak dengan Buriram menggandakan usaha mencari gol penyamaan, namun disiplin pertahanan Selangor terus menjadi benteng utama.
Detik dramatik hadir pada masa kecederaan (90+6) apabila Buriram akhirnya berjaya menembusi gawang Selangor menerusi Peter Zulj, sekali gus menafikan Selangor daripada mencatat kemenangan berharga di perlawanan sulung Shopee Cup.