FOTO : PERAK FC
PERAK FC akan memanfaatkan dua perlawanan persahabatan di Samarinda dengan nota kejayaan bagi memantapkan pasukan sepanjang cuti antarabangsa di bumi Indonesia.
Pasukan Liga Super itu selamat tiba di Kepulauan Borneo pada Selasa. Sebelum menentang Borneo FC pada Ahad ini, Perak akan menentang Serpong City terlebih dahulu petang esok.
Perlawanan dijangka bermula jam 3.45 petang, di Stadium Segiri. Bagaimanapun, perlawanan ini tidak dapat disaksikan secara langsung di seluruh Indonesia, kerana ia diadakan secara tertutup.
Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah berkata pasukannya membawa semua 23 pemain tidak termasuk empat pemain lain gara-gara masalah kecederaan dan urusan lain.
Tambahnya, dia akan menggunakan pemain simpanannya ketika berdepan Serpong pada Khamis.
“Kami mempunyai dua perlawanan persahabatan dan apa yang kami perlukan ialah semua pemain bermain 90 minit,” katanya dalam sidang media di Samarinda, Indonesia.
Kelab yang sinonim dengan warna kuning itu kini menduduki tangga kesembilan Liga Super daripada 14 pasukan bertanding
“Kami masih mempunyai baki tiga perlawanan untuk dimenangi bagi sekurang-kurangnya mengekalkan kedudukan tempat kesembilan itu.
“Saya berharap perlawanan persahabatan kali ini dapat memberikan suasana yang menyegarkan buat para pemain.
“Saya juga berharap perlawanan ini dapat memberi pengalaman kepada kami,” katanya lagi.
Sekembalinya The Bos Gaurus ke tanah air, mereka bakal bertemu Selangor FC dalam saingan Liga Super yang kini sedang menghuni posisi kedua serta berusaha keras menyambar slot ke pentas Asia.
“Saya juga berharap dalam perlawanan persahabatan seperti ini, Perak FC dari Malaysia dan Serpong FC, kelab divisyen tiga Liga Indonesia (kalau tak silap) boleh pergi lebih jauh selepas ini.
“Saya berharap kerjasama antara kedua-dua negara ini dapat menjadikan kita lebih baik dalam bola sepak.
“Seperti yang kita sedia maklum, Malaysia dan Indonesia dalam bola sepak sentiasa bersama,” kata Yusri lagi.