NG Tze Yong kekal di tangga ke-27 dunia dalam senarai terkini perseorangan lelaki ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membolehkan dia layak beraksi dalam kejohanan besar tahun hadapan.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan lelaki Wong Choon Hann berkata, kejayaan Tze Yong melengkapkan kalendar 2022 dengan menjuarai Cabaran Antarabangsa Bahrain, Ahad lalu, membuka lembaran baru untuk pemain itu.
Katanya, Tze Yong, secara automatik layak beraksi dalam kejohanan bertaraf Super 1,000 yang pasti mengumpul pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Wong Choon Hann dan Hendrawan sentiasa berbincang mencari penyelesaian terbaik untuk pemain perseorangan negara.
“Gelaran Cabaran Antarabangsa Bahrain tentunya menjadi penyuntik semangat kepadanya. Kini Tze Yong boleh bertemu pemain terbaik dalam Jelajah Dunia.
“Dia layak beraksi di kejohanan besar dan merasai tahap sebenar perlawanan berintensiti tinggi.
“Jadi sekarang dia perlu lebih bersedia dari segi mental untuk menghadapi cabaran di tahun hadapan,” kata Choong Hann.
Pada final Cabaran Antarabangsa Bahrain kelmarin, Tze Yong menewaskan pemain Taiwan, Kuo Kuan-Lin 21-15, 20-22, 21-12.
Tze Yong, 22, juga memenangi pingat perak perseorangan lelaki Sukan Komanwel di Birmingham, Ogos lalu.
Selepas Sukan Komanwel, Choong Hann menyediakan latihan fizikal kepada Tze Yong bagi memperkuat bahagian bawah badan dalam usaha melancarkan pergerakannya dalam gelanggang.