LANGKAH pasukan badminton negara dalam kempen Piala Sudirman 2025 berakhir dengan tersingkir pada saingan suku akhir, selepas tunduk 3-0 kepada China, sebentar tadi.
Keputusan ini bagaimanapun boleh dijangka apabila undian semula dilakukan selepas tamat saingan di peringkat kumpulan di Gimnasium Fenghuang, Xiamen, China.
Keputusan barisan jurulatih menurunkan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menghadapi Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping bagi acara beregu campuran cukup signifikan biarpun ketinggalan 2-5 dari segi rekod pertemuan, cuma banyak melakukan kesilapan sendiri menjadi punca pasangan negara tewas 17-21, 17-21 dalam masa 49 minit.
“Pada saya peluang kami sebenarnya 50-50 kami kerap melakukan kesilapan mudah dan unforced error, mereka berhasil mendapat mata daripada kesilapan kami,” kata Tang Jie, kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kedudukan berubah 2-0 memihak pilihan utama dari China itu apabila Leong Jun yang berada di ranking ke-26 dunia, turun menentang pemain nombor 1, Shi Yu Qi. Perlawanan agak berat sebelah apabila Jun Hao akur tewas 6-21, 14-21.
Harapan untuk skuad negara bangkit bagai sudah terkubur sebelum K Letshanaa turun menentang Chen Yu Fei lagi.
Letshanaa yang berada di ranking ke-49 dunia akur akan kehebatan lawan yang menghuni tangga ketujuh dunia itu, tewas 8-21, 7-21 dalam masa 32 minit.
Kekalahan itu bermakna skuad kali ini gagal menyamai pencapaian edisi lalu di Suzhou, yang melangkah ke separuh akhir. Untuk rekod, Malaysia belum pernah menjuarai Piala Sudirman meskipun bergelar negara kuasa badminton dunia.