PASUKAN kebangsaan diingatkan supaya tidak hanya fokus kepada Thailand, sebaliknya perlu bersedia berdepan cabaran semua pasukan dalam Piala Asia Sepak Takraw 2025 yang bermula 10 Mei ini di Stadium Titiwangsa.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, Thailand kini hadir dengan barisan pemain baharu yang tetap berbisa, namun Korea Selatan, Vietnam, Indonesia dan China juga sudah menunjukkan peningkatan ketara.

Datuk Sumali
“Jangan leka dan terlalu yakin walaupun kita tuan rumah. Fokus bukan hanya kepada Thailand kerana pasukan lain juga sudah setanding dari segi permainan dan taktikal,” katanya, selepas Majlis Memperkenal Jersi dan Pemain Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
Pada majlis itu, skuad negara endapat penajaan daripada Puma selain turut menyaksikan PSM menjalin kerjasama dengan TM Malaysia, sebagai rakan sukan.

FOTO: Persatuan Sepaktakraw Malaysia – PSM
Beliau mengingatkan pemain supaya mengekalkan semangat juang tinggi serta kekal stabil dari segi mental sepanjang kejohanan berlangsung.
“Kalau terlalu beri perhatian pada satu pasukan saja, kita boleh terperangkap. Apa yang penting, semua pemain perlu turun dengan tahap maksimum dalam setiap perlawanan,” katanya.

FOTO: Persatuan Sepaktakraw Malaysia – PSM
Sumali bagaimanapun percaya kelebihan bermain di laman sendiri mampu menjadi pemangkin semangat, terutama jika stadium dibanjiri penyokong tempatan yang memberi aura positif.