Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto akan menamatkan khidmatnya bersama badan induk itu pada penghujung Julai ini sebelum kembali ke Indonesia.

Nova yang menyertai BAM pada Januari 2023 memainkan peranan penting dalam memperkukuh program beregu campuran negara sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Kejayaan paling manis di bawah kendaliannya hadir pada Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025 apabila gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta sejarah sebagai beregu campuran pertama Malaysia muncul juara dunia.

Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sumbangan Nova akan terus dikenang kerana berjaya membawa program beregu campuran negara ke tahap lebih tinggi.

“Jurulatih Nova telah berkhidmat kepada badminton Malaysia dengan penuh dedikasi dan profesionalisme, manakala sumbangannya dalam pembangunan program beregu campuran negara amat besar.

“Kejayaan Tang Jie dan Ee Wei muncul juara dunia merupakan detik yang membanggakan badminton Malaysia serta menjadi pencapaian penting sepanjang tempoh beliau bersama BAM.

“Bagi pihak BAM, saya mengucapkan terima kasih kepada Jurulatih Nova atas segala jasanya dan mendoakan beliau serta keluarga terus berjaya dan bahagia apabila memulakan fasa baharu di Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Nova turut merakamkan penghargaan kepada BAM kerana memberinya peluang menjadi sebahagian daripada keluarga badminton Malaysia sepanjang lebih dua tahun berkhidmat bersama pasukan kebangsaan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM kerana memberi peluang kepada saya menjadi sebahagian daripada keluarga badminton Malaysia. Adalah satu penghormatan dapat bekerjasama dengan pemain, jurulatih dan kakitangan sokongan.

“Saya amat menghargai segala sokongan yang diberikan sepanjang berada di Malaysia dan berharap BAM akan terus mencipta lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” katanya.

BAM turut merakamkan penghargaan atas khidmat dan komitmen Nova sepanjang membimbing skuad beregu campuran negara serta mendoakan kejayaan beliau dalam meneruskan kerjaya selepas kembali ke Indonesia.