AVISENA Specialist Hospital hari ini menganjurkan acara larian Run for Pink yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara dalam kalangan masyarakat, khususnya di Shah Alam.

Bertemakan ‘Hope in Every Mile’, acara ini menawarkan dua kategori jarak larian, iaitu 5 km dan 10 km, dan telah mendapat sambutan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat sekitar Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Avisena Specialist Hospital (ASH), Dr. Razman Abd Karim menyatakan bahawa inisiatif ini merupakan salah satu usaha Avisena untuk memberikan kesedaran awal tentang kanser payudara, yang merupakan antara kanser paling lazim di Malaysia.

Seramai seribu peserta menjayakan program larian anjuran Avisena.

Beliau menekankan kepentingan acara sebegini bukan sahaja untuk meningkatkan kesedaran tetapi juga untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Kami komited dalam membantu pesakit kanser di mana usaha kami ini menjadikan sebahagian daripada yuran penyertaan ini disalurkan kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA), yang turut mengambil bahagian hari ini dengan menawarkan pemeriksaan payudara kendiri secara percuma kepada peserta dan pengunjung,” ujar Dr. Razman.

Beliau turut mengingatkan tentang kepentingan pemeriksaan payudara kendiri bagi wanita seawal umur 18 tahun dan menekankan bahawa kesedaran terhadap kanser payudara perlu dijalankan secara berterusan.

Antara perkhidmatan yang disediakan di perkarangan Avisena.

Selain acara larian, Dr. Razman turut memperkenalkan teknologi pemeriksaan diagnostik kanser terkini yang ditawarkan di Avisena Specialist Hospital, seperti 3D Digital Mammogram. Teknologi ini bukan sahaja menghasilkan imej dalam bentuk 3D tetapi turut meningkatkan kadar pengesanan kanser payudara sebanyak 25%.

“Pengesanan awal kanser payudara penting bagi memastikan rawatan yang lebih berkesan dapat diberikan kepada pesakit dan menjimatkan kos rawatan apabila kanser dikesan pada peringkat awal,” katanya.

Tambah beliau lagi, Avisena komited dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada masyarakat. Hospital ini sedang dalam proses pembinaan bangunan tambahan yang dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2027.