EKSKLUSIF
PELARI pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi sentiasa percaya bahawa perancangan Tuhan itu adalah yang terbaik buat dirinya selepas apa yang berlaku terhadap kariernya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Azeem yang baharu berusia 19 tahun itu mula menarik minat peminat sukan di Malaysia apabila berjaya memecah rekod kebangsaan acara 100 meter dengan catatan masa 10.09 saat ketika beraksi di Cali, Colombia pada 2022.
Namun namanya terpahat dalam ingatan ramai apabila dia dibatalkan penyertaan ketika saingan akhir 100 meter lelaki di Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, Vietnam tatkala dilihat berpeluang membawa pulang pingat emas buat negara.
Dia yang ditemubual secara eksklusif oleh FLASH SUKAN menjawab soalan sama ada pembatalan itu menjadikan namanya lebih dikenali dan kini melonjak naik selepas dia menyambung pembelajaran dan latihan di Universiti Auburn, Amerika Syarikat.
“Sepatutnya nama saya dikenali sebagai pemenang pingat emas 100 meter lelaki Sukan SEA Hanoi tetapi saya percaya perancangan Tuhan itu lebih baik buat saya dan kini ramai sudah mengenali saya berdasarkan prestasi dan pencapaian saya.
“Memang ketika itu saya sedih kerana sudah bersedia menyumbang pingat emas buat negara tetapi kini Tuhan tunjukkan perancangan-Nya adalah lebih luas buat saya dan apa yang perlu saya lakukan adalah bersyukur dan terus bekerja lebih keras,” katanya.
Azeem kini dalam persiapan menghadapi Kejohanan Atletik Dunia di Budapest Hungary dan dia meletakkan sasaran 10.15 saat dan mahu menjadikan kejohanan dunia ini sebagai persediaan buatnya ke Sukan Asia Hangzhou pada September.
Dia juga meletakkan sasaran peribadi untuk menjadi pelumba negara pertama yang berlari di bawah masa 10 saat dan dia percaya dengan kerja keras dan latihan di bawah seliaan Ken Harnden, dia mampu melakukannya pada masa akan datang.
Namun fokusnya kini adalah untuk membuktikan dirinya lebih baik daripada dua pencabar terdekat, Puripol Boonson dari Thailand dan Hiroki Yanagita dari Jepun apabila berentap di Sukan Asia nanti.