PENCAPAIAN mara ke suku akhir kejohanan berstatus ‘Gold’ di Terbuka Singapura minggu lepas menyemarakkan semangat pemain skuasy lelaki nombor satu negara Ng Eain Yow untuk mempamerkan aksi terbaik di Kejohanan Terbuka Malaysia yang akan bermula 22 November 2022 (Selasa).

Diundi bertemu pemain Argentina, Leandro Romiglio di pusingan pertama, pemain lelaki negara yang berada di ranking ke-24 dunia itu mahu meneruskan rentak cemerlang di Singapura.

“Prestasi keseluruhan saya di Singapura minggu lalu sangat baik terutamanya dapat mengatasi Saurav Ghosal dari India dan Paul Coll dari New Zealand. Saya tidak mahu dibuai kemenangan itu tapi prestasi sama perlu diteruskan untuk fokus pada perlawanan esok.

“Kalau boleh saya nak kalahkan setiap lawan, dan berharap prestasi saya baik minggu ini,” kata Eain Yow, pada sidang media Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil pada Isnin.

Aksi Ng Eain Yow pada Terbuka Singapura minggu lalu.

Pada pusingan pertama Terbuka Singapura, Eain Yow mengatasi pemain ranking ke-16 dunia, Saurav Ghosal sebelum mengejutkan pemain nombor dua dunia Paul Coll di pusingan kedua yagn membawa kepada pertemuan suku akhir menentang Joel Makin dari Wales, yang menyaksikannya tersingkir.

Presiden SRAM Gerard Monteiro bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Terbuka Malaysia Azlan Iskandar, pada sidang media bersama pemain sempena Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia, di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Isnin

Makin, pemain ranking ke-11 dunia bakal menjadi halangannya sekali lagi apabila dijadual bertemu pemain itu di pusingan kedua Terbuka Malaysia.

“Jika melepasi pusingan pertama, saya akan jumpa Joel Makin lagi. Tahun ini sahaja dah empat kali menentangnya dan setiap perlawanan pasti sengit.

“Minggu lepas (tewas) saya agak kepenatan selepas bermain 5 set untuk dua perlawanan menentang Saurav Ghosal dan Paul Coll.

“Jika bertemu Makin lagi sekali, saya lebih bersedia kerana kini sudah ada idea baru dan taktikal permainan baru untuk menghadapinya,” kata Eian Yow lagi.

Selain Makin, Terbuka Malaysia kali ini berjaya menarik pemain nombor 6 dunia, Tarek Momen dari Mesir yang diletakkan selaku pilihan utama kejohanan.

Aifa berdepan tugas berat pertahan gelaran Terbuka Malaysia

Sementara itu, juara bertahan kategori wanita, Aifa Azman akui sukar untuknya mempertahan kejuaraan 2021.

“Terbuka Malaysia kali ini, undiannya tak sama, lebih ramai pemain ranking lebih tinggi datang kali ini. Saya perlu bersedia dassri segi mental, tak mahu fikirkan kedudukan ranking, hanya masuk ke gelanggang dan bersedia untuk bermain,” kata Aifa.

Tambahnya, kehadiran pemain nombo sembilan dunia dari Amerika Syarikat (AS) Olivia Fletcher yang diletak sebagai pilihan utama selain beberapa pemain lagi, menambah prestij saingan.

“Bagus untuk Aifa dalam usaha meningkatkan ranking, jadi Aifa perlu menentang pemain di ranking leih tinggi,” katanya yang mensasarkan menutup kalendar 2022 dalam kelompok 20 terbaik dunia.

Ketika ini, Aifa berada di ranking ke-24 dunia dan dijanga melonjak tiga anak tangga selepas aksi di Terbuka Singapura minggu lalu.

Terbuka Malaysia berstatus Bronze memulakan saingan esok sehingga Ahad depan.

Selepas Terbuka Malaysia, para pemain akan bertumpu kepada Terbuka Hong Kong sebelum Kejohanan Berpasukan Dunia.