MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom menjadi talian hayat terakhir kontinjen negara di Sukan Olimpik Paris, dalam misi memburu pingat emas pertama, setelah mara ke suku akhir keirin lelaki.

Selepas kem berbasikal negara dipalit kegawatan ekoran Datuk Azizulhasni Awang dibatalkan penyertaan, manakala Shah Firdaus pula di “relegate” ranking perlumbaannya, Shah Firdaus menunjukkan semangat luar biasa apabila memenangi perlumbaan ketiga repechages.

Berlumba bersama Nick Wammes dari Kanada, Qi Liu (China), Jair Tjon En Fa (Suriname) dan Rayan Helal (Perancis), Shah Firdaus melakukan kayuhan bertenaga menyusup dari tengah sebelum memenangi perlumbaan.

Wammes yang menamatkan perlumbaan kedua akan mengiringi Shah Firdaus ke suku akhir yang dijadual berlangsung jam 5.30 petang ini.

Semangat…. Shah Firdaus menggalas cabaran besar, menebus kehampaan Datuk Azizulhasni Awang.

Meskipun ketiadaan Azizulhasni untuk memburu emas, Shah Firdaus yang turut berada dalam program Road to Gold (RTG) mempunyai kemampuan menyempurnakan misi itu.

Malah The Pocket Rocketman sebelum ini, pernah menyuarakan bahawa sudah tiba masanya untuk Shah Firdaus menyerlah dan keluar dari bayang-bayangnya.