PESILAT negara, V Thamaraj, telah mencipta sejarah apabila menjuarai Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 kategori bebas putera, pada Ahad.

Kejayaan ini diraikan seluruh negara, dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Thamaraj atas pencapaian gemilang tersebut.

“Saya amat teruja melihat kemenangan Thamaraj a/l Vasudevan, pesilat dari Malaysia yang telah mencipta sejarah dengan menjuarai kejohanan ini. Kejayaan beliau adalah bukti kehebatan dan komitmen pasukan silat negara di pentas antarabangsa,” ujar Ahmad Zahid dalam satu kenyataan di Facebook.

Dalam pertarungan akhir kategori bebas putera, Thamaraj mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan wakil Uzbekistan, Khudoyberdiev Diyorbek. Persembahan mantapnya bukan sahaja menonjolkan kehandalan beliau, malah memastikan pingat emas yang amat bermakna dibawa pulang ke tanah air.

Selain kemenangan individu Thamaraj, antara pesilat senior dan remaja yang menyumbang emas termasuk Farah Mazlan, Siti Shazwana, Abdul Latif, Tamarah, Ainatsya, Eafzayl Adriell, Raqib Darwisy, Muhammad Syaqil dan Ukail Darwis.

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Wira Megat Zulkarnain bin Tan Sri Omardin, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), yang telah memberikan sokongan moral dan semangat kepada pasukan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh pasukan silat negara atas dedikasi dan pencapaian hebat ini. Sokongan dari PESAKA dan usaha gigih pasukan telah membuahkan hasil yang luar biasa. Semoga kejayaan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak kemenangan yang mengharumkan nama Malaysia di masa akan datang, insya-Allah,” tambahnya.

Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 di Abu Dhabi membuktikan bahawa silat Malaysia terus unggul di persada antarabangsa. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengangkat seni mempertahankan diri warisan nusantara ini ke tahap yang lebih tinggi.

Silat negara kini berada di landasan yang tepat untuk terus mencipta kejayaan dan meletakkan nama Malaysia di puncak dunia seni bela diri.