SKUAD futsal negara perlu tampil dengan aksi berani apabila berdepan Iran dalam perlawanan terakhir Kumpulan G pusingan kelayakan Piala Asia 2026, di Stadium Tertutup SUKPA pada Rabu.
Ketua jurulatih, Rakphol Sainetngam berkata semua kelebihan meskipun memihak kepada Iran terutama dengan reputasi gah mereka selaku kuasa futsal Asia dan dunia, dia tidak mahu Malaysia tunduk sebelum berjuang.
“Saya tidak mahu kata saya yakin, saya begini, saya begitu. Tidak. Apa yang saya mahu adalah satu mentaliti. Kita perlu bermain dengan berani, berikan mereka tentangan.
“Iran pasukan sempurna, kita telah melihatnya dalam dua perlawanan lalu. Tetapi kita tidak tahu jika mereka juga boleh melakukan kesilapan,” ujar Rakphol.
Tambahnya lagi, “Kita wajib berikan yang terbaik demi penyokong yang hadir. Mereka penuhi SUKPA dalam dua perlawanan lepas walaupun membayar RM35 untuk tiket, itu harga yang mahal.
“Saya harap penyokong akan hadir kuningkan SUKPA sekali lagi, dan apabila mereka berbelanja besar untuk tengok kita bermain, kita perlu bayar balik kepada mereka dengan satu permainan yang menarik.”
Untuk rekod, Malaysia memastikan penamat 1-2 dalam Kumpulan G susulan kemenangan 1-0 ke atas UAE dan 7-1 ke atas Bangladesh. Iran pula membelasah Bangladesh 12-0 dan UAE 10-0 untuk memimpin kumpulan.
Pemenang aksi Malaysia – Iran akan muncul juara kumpulan sekaligus layak ke Piala Asia di Indonesia pada Januari depan. Manakala pasukan yang tewas masih boleh berharap untuk layak dengan tersenarai sebagai tujuh naib juara terbaik.