KETUA jurulatih renang kebangsaan, Eric Anderson menegaskan perpisahannya dengan Malaysia Aquatics (MAS) bukan episod panas, sebaliknya keputusan bersama demi mencari keserasian lebih ampuh di peringkat persekutuan.
Anderson yang kontraknya berakhir 31 Disember ini mengakui kedua-dua pihak sepakat sudah tiba masa membawa haluan berbeza meskipun prestasi pasukan berada di landasan terbaik.

Eric Anderson ketika membawa perenang negara di Sukan Olimpik Paris. |FOTO Instagram Eric Anderson.
“Di peringkat persekutuan, keselarasan semua pihak sangat penting dan jelas masanya untuk bergerak ke arah lain tanpa sebarang rasa tidak puas hati,” kata Anderson secara ringkas tetapi tegas.
MAS dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan tidak menyambung kontrak dibuat selepas Sukan SEA, sambil merakamkan penghargaan atas sumbangan besar Anderson serta memastikan kesinambungan program, kestabilan dan kebajikan atlet terus terpelihara.
Dilantik Januari 2024, Anderson meninggalkan warisan manis apabila membantu skuad negara mencatat prestasi renang terbaik di Sukan SEA dalam tempoh beberapa edisi.

Di Sukan SEA Thailand, Malaysia meraih dua emas, tiga perak dan lima gangsa, lonjakan ketara berbanding lapan pingat di Phnom Penh 2023 dan tujuh pingat di Hanoi 2021.
Lebih bermakna, ia menandakan kali pertama sejak Manila 2019 Malaysia meraih lebih satu emas renang dalam satu edisi, kali terakhir ketika Phee Jinq En menyapu bersih acara 100m dan 200m kuak dada wanita.
Walaupun berundur di puncak prestasi, Anderson menegaskan fokusnya kini untuk menyumbang kepada pembangunan renang secara lebih luas melalui konsultasi, pendidikan jurulatih dan kekal berkhidmat di Asia Tenggara, manakala MAS berjanji memperkukuh struktur prestasi tinggi menjelang kejohanan antarabangsa akan datang.