SKUAD karate negara menutup tirai saingan edisi ke-19 Kejohanan Karate Asia (AKF) 2023 dengan pungutan tiga pingat gangsa untuk berada di kedudukan ke-13 keseluruhan.

Mengakui skuad negara gagal mencapai sasaran sekurang-kurangnya satu pingat emas, biarpun beraksi di laman sendiri, Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, setidak-tidaknya prestasi semasa ini memberi wake up call karateka negara, mencari solusi sebelum ke Sukan Asia Hangzhou 2022.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad akui skuad karate gagal tetapi sasaran satu emas namun berharap karateka bangkit bawa kejayaan di Sukan Asia Hangzhou 2022.

“Bagi saya AKF bertujuan mencari atlet bagi Sukan Asia dan sebenarnya kali ini lebih baik dari sebelumnya apabila kita dapat tiga gangsa berbanding sebelum ini hanya dua.

“Dari prestasi, saya tak mahu komen namun percaya ia adalah landasan pertama persediaan kita ke Sukan Asia dan yang penting mereka ini akan mengharumkan nama negara,” katanya, ditemui pada Kejohanan Karate Asia 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

S Prem Kumar hadiahkan pingat gangsa pertama di Kejohanan Karate Asia 2023 menerusi Kumite Bawah 55kg lelaki.

Kali ini, pingat gangsa disumbangkan Prem, Kumite Bawah 55kg lelaki, Zakiah Adnan, Kumite Bawah 61kg wanita, dan Kata berpasukan wanita, menerusi Lovely Anne Robberth, Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie Yampil.

Zakiah Adnan, 20, buat kejutan raih pingat gangsa dalam kategori senior, dalam acara Kumite Bawah 61kg wanita, Kejohanan Karate Asia 2023.

Pada edisi ke-18 di Tashkent, Uzbekistan, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-13 keseluruhan dengan dua pingat gangsa yang disumbangArif Afifuddin dalam acar Kumite kategori Bawah 84kg dan S Prem Kumar, Bawah 55kg.

Bagaimanapun, kejayaan dilakar Zakiah membolehkan namanya disenarai ke Sukan Asia pada September depan.

Kata berpasukan wanita yang terdiri daripada trio Lovely Anne Robberth-Naccy Nelly Evvaferra Rojin-Niathalia Sherawinnie Yampil satu-satunya atlet yang bertanding di Sukan Sea Kemboja meneruskan kecemerlangan di Kejohanan Karate Asia 2023.

Sementara itu, Kazakhstan muncul juara keseluruhan dengan meraih tiga emas, empat perak dan empat gangsa, mengatasi juara bertahan iaitu Jepun dengan perbezaan pingat perak.

Majlis penutup kejohanan itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang juga penaung MAKAF.