TERENGGANU FC (TFC) berada dalam kelas tersendiri mengalahkan Kelantan Darul Naim (KDN), 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Jumaat malam.
Kemenangan itu membolehkan TFC naik ke tangga teratas liga sekurang-kurangnya untuk seketika sebelum empat lagi perlawanan berlangsung esok dan Ahad.
Awal permainan memihak TFC menyaksikan bola umpanan kapten, Safawi Rasid minit ke-12 singgah di kaki Manuel Ott namun percubaannya melambung tinggi.

Tiga minit kemudian TFC mengasak kubu KDN menerusi hantaran kemas Ubaidullah Shamsul Fazili namun tandukan Ismaheel Akinade pula tersasar ke sebelah tepi.
TFC kemudian dihadiahkan penalti selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan kekasaran terhadap Safawi dengan Akinade menyudahkan sepakan itu minit ke-36.
Skuad Penyu berjaya membawa kelebihan dua gol ke bilik persalinan apabila Nurillo Tukhtasinov pantas menyambar bola gerakan Akinade pada minit ke-45.

Terengganu FC
Bersambung babak kedua TFC makin garang bermula rembatan Akinade seminit selepas rehat yang ditepis penjaga gol, Khatul Anuar Md. Jalil untuk sepakan sudut.
Marin Pilj mengambil sepakan sudut itu membuat hantaran yang ditumbuk Khatul Anuar sebelum bola tiba kepada Ott (m-47) untuk membuat voli dan gol ketiga TFC.

Kelantan Darul Naim
Pelawat sesekali hadir menerusi serangan balas namun rembatan kencang Asraff Aliffuddin Yasin pada minit ke-50 sekadar menggegar palang gol.
Menuju hujung permainan kedua-dua pasukan berpeluang memburu gol namun kedudukan 3-0 memihak TFC kekal sehingga tamat.