TIADA masalah buat pemain skuasy perseorangan lelaki nombor satu negara, Ng Eain Yow mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia, selepas mudah mengatasi pencabarnya hari ini dalam aksi pusingan pertama di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil pada Selasa.
Eain Yow yang juga pemain nombor 20 dunia menempah tempat ke pusingan kedua selepas berjaya menumbangkan Leandro Romiglio dari Argentina 11-7, 11-5, 11-8 dalam tempoh 40 minit.

Ng Eain Yow mudah atasi Leandro Romiglio dari Argentina 11-7, 11-5, 11-8
Bagaimanapun, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu dijangka berdepan tugas sukar esok apabila dijadual menentang pilihan kedua dari Wales, Joel Makin, yang menyekat kemaraannya di suku akhir Terbuka Singapura, minggu lalu.
“Saya rasa perlawanan hari ini sangat sengit, lagi pun saya baru sahaja pulang daripada menyertai Terbuka Singapura. Jadi ada naik dan turun selepas saya mengalahkan pemain nombor dua dunia (Paul Coll) minggu lalu.
“Bukan mudah untuk saya fokus pada perlawanan hari ini. Terutama di set pertama apabila permainan saya agak mendatar. Selepas itu saya kurangkan melakukan kesilapan dan gembira akhirnya menang dengan tiga set,” katanya.

Aina Amani berkerja keras sebelum berjaya menundukkan pemain Mesir, Zeina Mickawy 12-10, 6-11, 7-11, 11-7, 11-6
Eain Yow mengharapkan tuah di laman sendiri untuk mengulangi pencapaiannya bergelar juara Terbuka Malaysia pada edisi 2019.
Dia mendapat suntikan semangat selepas berjaya menewaskan pemain nombor dua dunia Coll di pusingan kedua Terbuka Singapura minggu lalu.
Turut layak ialah pemain perseorangan wanita, Ainaa Amani Ampandi yang mengalahkan wakil Mesir, Zeina Mickawy 12-10, 6-11, 7-11, 11-7, 11-6.