Brunei Darussalam mengesahkan penyertaan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan.

Pengesahan itu hadir selepas delegasi SUKMA Selangor mengadakan kunjungan rasmi ke Bandar Seri Begawan bagi membincangkan penyertaan kontinjen negara berkenaan dalam temasya sukan dwitahunan tersebut.

Delegasi SUKMA Selangor diketuai Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA Selangor, Mohd Najwan Halimi.

“Brunei bersetuju menghantar sejumlah atlet mereka ke SUKMA Selangor nanti, sebagai simbol hubungam persahabatan yang terjalin erat dan menyokong usaha dalam pembangunan atlet muda di kedua-dua buah negara secara amnya.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pengiran Dato Seri Setia Shamhary kerana menyokong kita, sekali gus melengkapkan penyertaan 15 kontinjen pada SUKMA Selangor kali ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Selangor, Dato’ Mohd Yazid Sairi serta Ketua Pegawai Operasi, Mohamad Nizam Marjugi.

Ketibaan delegasi itu disambut Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei Darussalam, Pengiran Dato Seri Setia Shamhary Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.

Penyertaan Brunei dilihat bakal menambah lagi kemeriahan SUKMA Selangor 2026 selain mengukuhkan hubungan sukan serantau antara Malaysia dan negara jiran.

Untuk rekod, Brunei membawa pulang satu pingat emas menerusi acara wushu di SUKMA Sarawak 2024.

Pada edisi SUKMA 2022 di Kuala Lumpur pula, kontinjen Brunei menamatkan saingan dengan kutipan dua pingat perak dan dua gangsa.

Dengan penyertaan rasmi Brunei, SUKMA Selangor 2026 dijangka terus menjadi pentas kompetitif buat atlet muda serantau untuk mempamerkan bakat dan kemampuan masing-masing.

SUKMA Selangor 2026 akan mempertandingkan 469 acara menerusi 37 jenis sukan di 52 venue pertandingan di sembilan daerah seluruh Selangor serta Velodrom Nasional di Negeri Sembilan.

Kredit Gambar: Facebook/SUKMA Selangor 2026