PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr Norza Zakaria menyambut kunjungan Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA), Sheikh Joaan bin Hamad Al-Thani yang mengadakan lawatan kerja sehari ke Malaysia pada Isnin.
Dalam lawatan tersebut, Norza yang juga Naib Presiden OCA Zon Asia Tenggara telah menyelaras dua pertemuan penting membabitkan Sheikh Joaan bersama Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kunjungan itu dilihat sebagai langkah memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan OCA, selain memperkasa pembangunan Gerakan Olimpik di rantau Asia.
Dalam pertemuan tersebut, Sheikh Joaan menyatakan sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan di Malaysia serta mengiktiraf peranan kepimpinan negara dalam memajukan arena sukan.
Beliau turut menggalakkan Malaysia untuk menjadi tuan rumah kepada acara-acara utama OCA, termasuk Sukan Asia, dengan sokongan penuh kerajaan.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA), Sheikh Joaan bin Hamad Al-Thani. (Sumber Gambar: FB Olympic Council of Asia)
Selepas menamatkan lawatan di Malaysia, Sheikh Joaan dijadual berlepas ke Sanya, China bagi mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif OCA ke-109 selain merasmikan temasya Sukan Pantai Asia 2026.
Dalam masa sama, Norza menyatakan hasrat untuk terus memperkukuh hubungan kerjasama sukan serantau dan antarabangsa, selain menjemput Sheikh Joaan untuk kembali ke Malaysia dalam masa terdekat.
Beliau juga mengesahkan jemputan rasmi telah disampaikan kepada Presiden OCA itu untuk menghadiri Sukan SEA 2027 yang bakal dianjurkan Malaysia.
Sumber Gambar: FB Olympic Council of Asia