PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Victor Andrag, meluahkan rasa bangganya terhadap semangat juang pemain pada aksi kedua separuh akhir MFL Challenge Cup 2024-25.
Kedah menempuh cabaran sengit di Stadium Darul Aman pada Sabtu, sebelum akhirnya hampa di tangan PDRM FC menerusi penentuan sepakan penalti.
“Saya rasa cukup bertuah kerana mempunyai pemain-pemain yang sentiasa memberikan yang terbaik setiap hari, walaupun menghadapi pelbagai cabaran.
“Tidak mudah bagi saya untuk memastikan pemain-pemain terus berusaha dan membentuk keserasian dalam pasukan,” kata Andrag selepas perlawanan.

Kegembiraan gol Amirul Hisyam tidak dapat dikekalkan sehingga tamat masa sebenar permainan. Foto – MFL
Beliau turut memuji kesungguhan anak buahnya yang memahami situasi pasukan dan berjuang sebagai satu keluarga sepanjang kejohanan ini.
“PDRM adalah juara tahun lalu dan mereka memiliki kekuatan tersendiri, terutama dengan kehadiran pemain import berkualiti.
“Namun, pemain saya menunjukkan karakter yang hebat sehingga berjaya membawa perlawanan ke masa tambahan, penentuan sepakan penalti,” katanya.
Menurut Andrag, beliau tidak boleh mengharapkan sebarang keajaiban daripada pemain, sebaliknya menghargai segala usaha yang telah mereka curahkan.
“Pemain telah memberikan segala-galanya di atas padang. Saya amat berbangga dengan mereka. Dalam keadaan sukar, mereka tetap bersatu dan berusaha menempuh cabaran satu persatu.
“Saya dapat melihat kesungguhan serta keinginan mereka untuk berjaya,” jelasnya.