KEMAMPUAN lapan pemain mencipta nama selaku penjaring di sepanjang kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) menghadirkan rasa selesa skuad hoki negara menjelang temasya Sukan Asia Hangzhou, September depan.
Malah kemampuan penyerang muda, Shello Silverius meledak empat gol yang semuanya menerusi jaringan padang, pastinya menghadirkan gerun kepada pesaing di temasya itu.
Shello, pemain kelahiran Sabah, sendiri yakin dengan kemampuan Malaysian Tigers yang kini mempunyai kebolehan menjaringkan gol dari pelbagai aspek jaringan.

Azrai Aizad Abu Kamal, antara penjaring gol pada final menentang India dalam kempen ACT2023. -Pix AHF/Hockey India
“Kita bagai memberi amaran kepada pasukan lain bahawa kita bukan sahaja mampu menjaringkan gol melalui pukulan sudut penalti tetapi juga jaringan padang,” kata pemain berusia 24 tahun itu.
Malaysian Tigers muncul juara naib juara di kejohanan berkenaan menyaksikan tiga lagi pemain turut menyumbat empat gol termasuk Firhan Ashari, Azrai Aizad Abu Kamal dan Najmi Farizal Jazlan.
Turut mencatat nama sebagai penjaring, Faizal Saari (2 gol), Azuan Hassan, Aminudin Zain dan Razie Rahim masing-masing satu gol.
“Pertama sekali empat gol yang saya jaringkan ini adalah kerana mengambil peluang (di kejohanan berkenaan). Kebanyakan penyerang berjaya menjaringkan gol.
“Muncul juara di Sukan Asia adalah sasaran utama, kerana kami mahu layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024. Kalah di ACT bukan bererti kalah selama-lamanya,” katanya, yang masuk sebagai pemain gantian ketika final Sabtu lalu.

Pemain negara, Najmi Farizal Jazlan (kiri) menjaringkan empat gol di sepanjang kempen ACT2023. Pix AHF/Hockey India
Dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Mayor Radhakrishnan Sabtu lalu, Malaysian Tigers mendahului 3-1 sebelum tumpas kepada tuan rumah 3-4.
Namun ia adalah pencapaian terbaik selepas lima kali berturut-turut menduduki tempat ketiga.
“Olimpik pastinya menjadi idaman semua orang untuk ke sana, jadi jika diberikan tugas di Sukan Asia nanti saya berjanji akan memberikan yang terbaik,” katanya, yang juga menjadi tonggak Pasukan Hoki Terengganu (THT) dalam saingan Liga Hoki Malaysia.
Kali terakhir skuad hoki negara layak beraksi di Olimpik ialah di Sydney pada 2000.