KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) menganggap kehadiran Mizuno menaja empat pasukan kebangsaan, sebagai satu sumbangan besar kepada badan induk hoki negara itu.
Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, kehadiran jenama sukan terkemuka dari Jepun itu, bakal melonjakkan semangat pemain.
“Satu pertolongan yang besar buat kami terutamanya dari segi pakaian (jersi), mereka jenama yang popular yang kini dipakai pasukan hoki Jepun, Great Britain dan Ireland,” kata Subahan, pada sidang media memperkenalkan Mizuno sebagai penaja rasmi kelengkapan sukan bagi pasukan hoki kebangsaan Wanita, Remaja Wanita, serta skuad hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita.
Menurutnya, buat masa ini, skuad remaja wanita (padang) akan merasmikan jersi dari Mizuno itu untuk menghadapi kempen Hoki Piala Remaja Asia yang akan berlangsung di Muscat, Oman, Disember depan.
Beliau turut mengumumkan bahawa jersi sebenar bagi empat pasukan itu akan direka khas bermula tahun hadapan.
“Tahun hadapan, Mizuno akan membuat rekaan khas jersi yang ada ciri-ciri Malaysia dan mereka akan memasarkannya di seluruh kedai Mizuno di seluruh negara, jadi lebih mudah untuk peminat mendapatkannya,” tambahnya sambil mengesahkan kerjasama itu membabitkan kontrak dua tahun (1+1) membabitkan nilai RM300,000 setahun.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran (Negara) Mizuno, Darren Wong berkata, pihaknya mahu orang ramai termasuk penggiat hoki tanah air tahu bahawa Mizuno memiliki kasut hoki yang berkualiti dan selesa.
“Mungkin ramai yang tidak tahu kita mempunyai kasut hoki dan sudah dipakai oleh pemain ternama dunia.
“Kali ini kita cuba jalin kerjasama dengan KHM dan mendekati seberapa ramai pemain hoki yang boleh,” kata Darren, yang sebelum ini melantik dua pemain lelaki kebangsaan, Shello Silverius dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal sebagai duta kasut hoki Mizuno.