KEJOHANAN Hoki Piala Mirnawan 2025 kekal menjadi pentas penting pembangunan pemain remaja negara walaupun edisi kali ini menyaksikan pengurangan penyertaan pasukan antarabangsa berikutan kekangan kewangan yang dihadapi pihak penganjur.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, berkata edisi tahun ini akan berlangsung dari 2 hingga 9 November di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, dengan hanya lapan pasukan dijemput berbanding 10 pasukan pada edisi 2024.

“Banyak negara luar berminat menyertai kejohanan ini, namun kita perlu mengambil kira kemampuan kewangan semasa. Justeru, kami memilih pasukan yang diyakini mampu memberikan saingan berkualiti kepada pemain muda negara,” katanya pada sidang media semalam.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal ketika sidang media pelancaran Piala Mirnawan 2025. (Sumber Gambar: NHDP)

Beliau menegaskan, pengurangan jumlah penyertaan tidak akan menjejaskan kualiti dan kemeriahan kejohanan, yang kini memasuki edisi keempat sejak diperkenalkan pada 2022, malah ia kekal relevan sebagai platform penting bagi memperkukuh asas pembangunan hoki negara.

“Tiada gunanya menganjurkan kejohanan sekadar untuk memenuhi jadual. Matlamat utama penganjuran ini adalah memberi pendedahan dan impak besar terhadap pembangunan pemain remaja negara,” katanya lagi.

Bagi kategori lelaki bawah 18 tahun, kejohanan kali ini akan disertai Malaysia Speedy, Malaysia Tiger, Jepun, Afrika Selatan, serta dua pasukan dari Australia — Queensland dan Croc One Active.

Jersi rasmi Pasukan Remaja Hoki B18 Kebangsaan yang dilancarkan dalam sidang media yang sama semalam. (Sumber Gambar: NHDP)

Sementara itu, bagi kategori wanita bawah 18 tahun, pasukan yang bakal beraksi ialah Malaysia Tigress, Jepun, Afrika Selatan, dan dua wakil Australia yang sama.

Piala Mirnawan, yang dianjurkan oleh Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) di bawah seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama KHM, akan berlangsung selama lapan hari menggunakan format liga sepusingan (round-robin), dengan dua pasukan terbaik mara ke perlawanan akhir.

Selain menjadi medan persaingan berprestij, kejohanan ini turut berperanan memperkukuh hubungan sukan antarabangsa antara Malaysia dan negara-negara rakan, selaras dengan visi KHM untuk memperluas jaringan pembangunan hoki di peringkat global.