NANTIKAN aksi lebih bertenaga dari kami minggu hadapan!

Demikian menurut Ketua Jurulatih Amelia Indonesia, Sugiano, sejurus selepas kebangkitan pasukan itu ketika menewaskan ATM Gladiator 3-0 pada Sabtu.

Kelab dari Batam itu tewas pada perlawanan pembukaan Sooka Super Siries Volleyball (SSSVB 2022) semalam, apabila tunduk kepada Selangor Lions 1-3.

“Kami berdepan kesukaran mengumpul pemain, jadi untuk tiga perlawanan minggu ini hanya diperkuat lapan pemain.

“Minggu hadapan, pasukan kami akan cukup 14 pemain dan kami akan tampil lebih kuat,” kata Sugiano yakin dengan kemampuan pasukannya.

Ketika menentang ATM Gladiator, mereka kurang mendapat tentangan dan lega akhirnya meraih kemenangan pertama.

Mengulas lanjut, pada perlawanan pertama menentang Selangor Lions, lapan pemainnya itu kepenatan kerana baru tiba dari Batam, dan terus beraksi.

“Meskipun kepenatan, pemain saya bermain jauh lebih baik ketika menentang Selangor Lions berbanding hari ini,” kata Sugiano.