STADIUM Majlis Perbandaran Selayang kini bakal kembali menjadi salah satu venue untuk Liga Malaysia musim 2024-25 dengan PDRM FC dikhabarkan akan menggunakan stadium itu sebagai venue tuan rumah.

Venue dengan kapasiti 20,000 tempat duduk itu bukanlah asing buat pertandingan Liga Super apabila sebelum ini sering dijadikan laman buat pasukan Selangor, ATM, Sime Darby, Felda United dan PDRM.

PDRM FC, juara MFL Challenge Cup 2023 kini bakal kembali ke Selayang dan stadium itu juga akan kembali menjadi tumpuan ramai penyokong bola sepak sejak ianya menyepi lebih lima tahun dari sebarang pertandingan bola sepak peringkat tertinggi negara.

Stadium Selayang juga sudah dinaiktaraf dengan kos RM10 juta bagi memperbaiki lampu limpah, sistem perparitan dan tempat duduk bagi memastikan ianya menepati piawaian yang ditetapkan MFL selain menambah keselesaan para penyokong yang hadir.

Skuad Sang Saka Biru sebelum ini menggunakan Stadium MBPJ di Kelana Jaya, berkongsi dengan Selangor FC dan untuk musim 2024-25, pihak pengurusan bersetuju untuk kembali ke Selayang bagi meneruskan musim gemilang yang dilalui pada 2023.

Di bawah bimbingan Datuk Yunos Alif, PDRM mengorak langkah muncul sebagai pasukan ‘giant killer’ apabila mempamerkan aksi bertenaga dengan menggunakan pemain sedia ada dan barisan import yang sudah berpengalaman dalam Liga Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Stadium Selayang kini sedia ‘beraksi’, serba baharu!

Mereka menamatkan saingan Liga Super di tangga kelapan dan muncul juara MFL Challenge Cup sekaligus piala pertama yang berjaya dimenangi dalam sejarah kelab itu.