NG Tze Yong masih trauma terhadap kecederaan belakang dialaminya di Terbuka Malaysia 2024 pada awal Januari lalu, biarpun semakin pulih dari kecederaan otot tulang belakang itu.
Kehadiran pemain utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu dalam skuad Badminton Berpasukan Asia (BATC) negara, minggu hadapan amat penting, terutamanya ketika pasukan lelaki negara dalam situasi mempertahan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu.
Tze Yong berkata, proses latihannya di Akademi Badminton Malaysia (ABM) berjalan dengan baik dan dua perlawanan awal menentang Brunei dan Kazakhstan bakal menjadi medan pemanas badan untuk dirinya.
“Saya rasa sudah pulih dalam 70 ke 80 peratus,” kata pemain yang berada diranking ke-15 dunia , selepas sesi latihan di ABM, hari ini.
Menurutnya, dia sudah menyertai latihan penuh di gelanggang tetapi mungkin perlu mengambil ambil masa untuk beraksi pada tahap sebelum ini: “Sekarang saya tak rasa sakit. Namun belum 100 peratus cergas, jadi ketika main (latihan), belum lagi dapat rasa (tahap cergas) seperti sebelum ini, memang ada beza. Doktor pun tak ada memaklumkan (jangka masa pulih sepenuhnya), jadi ia memerlukan sedikit masa.
“Saya tidak berani lagi untuk melakukan pukulan dengan sepenuhnya.”
Malaysia diundi bersama Taiwan, Kazakhstan dan Brunei dalam Kumpulan B dan bakal membuka tirai saingan bertemu Brunei pada 13 Februari ini.
Mengulas mengenai kemungkinan dia diturunkan, Tze Yong memilih diturunkan menentang pasukan yang lemah seperti Kazakhstan dan Brunei kerana belum yakin dapat mengeluarkan prestasi terbaik.
“Rasa minggu depan (BATC) tidak begitu sukar. Lawan Kazakhstan (di perlawanan kedua kumpulan), jadi saya boleh menyesuaikan diri dan lihat sama ada saya boleh 100 peratus ataupun tidak,” katanya biarpun sedar laluan mempertahankan gelaran kali ini bukan mudah.
“Dua tahun lalu, mungkin banyak pasukan tidak menghantar pasukan terkuat mereka. Tapi kali ini banyak yang hantar pemain terbaik, namun saya rasa kami boleh memberikan saingan,” kata Tze Yong.
Cabaran perseorangan akan diketuai Lee Zii Jia selain Ng Tze Yong, Leong Jun Hao dan Eugene Ewe manakala beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.