FENOMENA sukan musim sejuk semakin mendapat tempat di Malaysia apabila edisi ke-17 Skate Malaysia mencatat kehadiran luar biasa lebih 600 atlet dari tujuh negara, sekali gus memaksa kejohanan dilanjutkan daripada tiga ke lima hari.
Pertandingan yang berlangsung di Sunway Pyramid Ice dari 25 hingga 29 Jun itu menghimpunkan peluncur ais muda dan profesional dari Malaysia, Indonesia, Thailand, China, Filipina, Singapura dan Amerika Syarikat dengan lebih 1,700 penyertaan merangkumi acara individu, berpasangan dan berpasukan.

Jenelle Sia Ee Xuenn performing with a layback spin for the opening ceremony of Skate Malaysia
Dominasi peluncur tempatan cukup ketara apabila Sunway Pyramid Ice mempertahankan kejuaraan keseluruhan manakala Blue Ice Skating Rink @ KL East Mall menamatkan saingan di tempat kedua. Wakil Thailand, Sub-Zero Sukhumvit, melengkapkan kedudukan tiga teratas.
Antara persembahan terbaik yang mencuri tumpuan termasuk peluncur muda Malaysia seperti Cassius Leong (8 tahun), Chanice Low Xin Yu (12), Elizabeth Kim (11) dan Jenelle Sia Ee Xuenn (14), manakala Thailand diwakili Maneejan Wilairat (10) dari Sub-Zero Ice Skate Club.
Menurut Albert Cheok, Penolong Pengurus Besar Sunway Pyramid Ice, sambutan luar biasa ini membuktikan potensi besar sukan ais di Malaysia, malah pihaknya merancang membuka gelanggang ais pertama di Perak menerusi Sunway Ipoh Mall dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Flag parade from the opening ceremony of Skate Malaysia (L to R) Datuk Andrew Tiong Harry Janto Leo Billy Johan Jason Chin Michelle Ng Albert Cheok
Disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan serta Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM), kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan pendedahan antarabangsa tetapi turut mencorakkan masa depan sukan musim sejuk di negara ini.
Majlis pembukaan turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa Jenelle Sia bersama rakan dari Akademi Luncur Ais Sunway Pyramid, disaksikan ADUN Subang Jaya, YB Michelle Ng serta Presiden ISAM, Billy Johan.