DATARAN Lang di Kuah, menjadi saksi kepada kemeriahan majlis memperkenal 22 pasukan yang akan bersaing dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.
Acara penuh gemilang itu, mengembalikan semula, kemeriahan Pulau Langkawi yang kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2018.
Majlis dirasmikan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin, dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.
Sebanyak 132 pelumba dari pelbagai kategori, termasuk WorldTeam, ProTeam, Continental, dan pasukan kebangsaan, bakal memberikan saingan sengit dalam edisi kali ini yang merangkumi jarak keseluruhan 1,190 kilometer melalui 10 negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
Peringkat 1 perlumbaan LTdL 2024 di Langkawi akan bermula pada Ahad, diikuti peringkat 2 (Arau ke Butterworth), peringkat 3 (Taiping ke Cameron Highlands), peringkat 4 (Kuala Kubu Baru ke Bentong), peringkat 5 (Kuala Lumpur ke Melaka), peringkat 6 (Batu Pahat ke Kulai), peringkat 7 (Miri ke Bintulu), dan peringkat 8 di Bintulu.