Penampilan Danish Iftikhar Muhammad Roslee di pentas Aichi-Nagoya 2026 mencipta sejarah buat olahraga negara apabila pelari berusia 19 tahun itu berjaya membawa Malaysia kembali ke final 200 meter (m) lelaki Sukan Asia selepas penantian 44 tahun.
Danish menempah tiket ke final selepas menamatkan separuh akhir saringan pertama di tempat keempat dengan catatan 20.76 saat (s) di Stadium Nagoya City Mizuho Park Athletic, hari ini.
Catatan berkenaan sudah memadai untuk melayakkannya menerusi kelompok dua pelari terpantas berikutnya, sekali gus memastikan tempatnya dalam kelompok lapan terbaik Asia bagi acara berkenaan.
Kejayaan itu mengulangi pencapaian yang kali terakhir dilakukan Datuk Rabuan Pit pada Sukan Asia New Delhi 1982. Legenda pecut negara itu bukan sahaja mara ke final, malah menghadiahkan pingat gangsa kepada Malaysia.
Dalam saingan separuh akhir hari ini, pelari Jepun, Soshi Mizukubo muncul pemenang saringan dengan catatan 20.37s, diikuti Wu Yen Ming Ke dari Taiwan dengan 20.71s dan wakil Hong Kong, Yip King Wai dengan 20.74s.
Bagaimanapun, seorang lagi wakil negara, Muhammad Haziq Mohamad Akhir tidak berjaya mengikut jejak Danish apabila menamatkan saingan separuh akhir saringan ketiga di tempat kelapan dengan catatan 21.50s.
Saringan tersebut menyaksikan raja pecut Asia, Puripol Boonson dari Thailand terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila mencatat 20.10s untuk mara sebagai pemenang.
Catatan Puripol itu turut mencipta rekod baharu Sukan Asia, memadam rekod 20.14s milik Femi Ogunde dari Qatar yang dilakukan pada edisi Incheon 2014.
Animesh Kujur dari India menamatkan saringan di tempat kedua dengan 20.81s, manakala Ali Haji dari Bahrain berada di tempat ketiga dengan 21.91s.
Kini, tumpuan terarah kepada Danish yang bakal membawa cabaran Malaysia dalam final 200m lelaki yang akan berlangsung esok jam 6.35 petang waktu Malaysia, dengan peluang untuk melakar satu lagi pencapaian penting selepas negara akhirnya mempunyai wakil dalam acara itu di pentas akhir Sukan Asia buat kali pertama sejak 1982.