Pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee menamatkan saingan acara 100 meter lelaki Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun (U20) Dunia 2026 di Oregon, Amerika Syarikat di tempat kelapan dunia.
Danish mencatat masa 10.44 saat dalam perlumbaan akhir yang berlangsung awal pagi tadi selepas melakar sejarah muncul pelari Malaysia kedua layak ke pentas final acara 100m di kejohanan berprestij itu.
Pingat emas menjadi milik wakil Amerika Syarikat, Tate Taylor yang tampil cemerlang dengan catatan peribadi terbaik (PB) 9.94 saat.

Pelari Jamaica, Gary Card meraih pingat perak selepas mencatat masa 10.05s, manakala Marko Ferreira dari Afrika Selatan melengkapkan kedudukan podium dengan pingat gangsa menerusi catatan 10.16s.
Walaupun gagal menamatkan perlumbaan dalam kelompok pingat, pencapaian Danish tetap wajar dibanggakan apabila berjaya menembusi final dunia dan bersaing dengan barisan pelari muda terbaik dunia.
Sebelum ini, atlet berusia 19 tahun itu mengesahkan tempat ke final selepas menamatkan saingan separuh akhir dengan catatan 10.36 saat, sekali gus menjadi satu-satunya wakil Asia yang layak ke perlumbaan penentuan pingat.
Pencapaian tersebut membuktikan potensi besar Danish untuk terus berkembang sebagai prospek utama pecut negara menjelang temasya utama akan datang, termasuk Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan kempen menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028.