DARI papan catur ke pentas diplomasi antarabangsa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi tuan rumah bersama kejohanan catur bertaraf dunia – Azerbaijan National Leader Remembrance Day 2025: Chess Tournament – yang berlangsung penuh simbolik di Hotel UiTM, Shah Alam pada Sabtu.
Lebih daripada sekadar sebuah kejohanan, acara ini menjadi wahana memperkukuh jalinan hubungan antara Malaysia dan negara-negara Asia Tengah, khususnya Azerbaijan, menerusi sukan yang menjadi lambang intelek, strategi dan disiplin tinggi.

Kejohanan anjuran Kedutaan Republik Azerbaijan dengan kerjasama Persekutuan Catur Malaysia (MCF) dan UiTM Global ini diadakan bersempena memperingati Allahyarham Heydar Aliyev – tokoh negarawan yang dianggap arkitek pembangunan moden Azerbaijan. Bermula seawal jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang, acara ini menghimpunkan 60 peserta pelbagai bangsa, usia dan latar belakang dalam dua kategori utama: Terbuka dan Wanita.
Dengan tujuh pusingan berformat FIDE Rapid Rated (masa kawalan 15 minit + 10 saat tambahan setiap langkah), kejohanan turut menyaksikan penyertaan golongan muda Bawah 18 dan Bawah 12 Tahun, kategori Veteran (50+), peserta OKU serta penyertaan khas dari pelajar UiTM sendiri — membuktikan inklusiviti dan keterbukaan sukan catur di peringkat antarabangsa.
Lebih membanggakan, UiTM bukan sahaja menyediakan fasiliti bertaraf tinggi sebagai lokasi rasmi kejohanan, malah memainkan peranan utama dalam mengatur logistik dan teknikal melalui UiTM Global. Ia selari dengan komitmen universiti ke arah memperkasa rangkaian antarabangsa dan menjadikan institusi pengajian tinggi sebagai ejen diplomasi budaya.

Hadiah keseluruhan berjumlah RM7,500 ditawarkan termasuk RM1,000 kepada juara kategori Terbuka dan RM800 bagi kategori Wanita. Majlis penutup pula menjadi acara gilang-gemilang dengan kehadiran para diplomat dari Azerbaijan, Kazakhstan, Georgia, Turkmenistan, Tajikistan, Uzbekistan dan Türkiye, serta Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Shahrin bin Sahib dan Presiden MCF.
Tahun ini menandakan edisi ketiga kejohanan ini dianjurkan di Malaysia, sekali gus menjadikan Shah Alam sebagai nadi hubungan silang budaya antara Asia Tenggara dan Asia Tengah. Dan di sinilah, dari sebiji buah catur yang digerakkan dengan teliti, terbina jaringan diplomasi yang kukuh — menandakan bahawa sukan bukan sekadar menang dan kalah, tetapi simbol keakraban global.