KEYAKINAN diri dan prestasi semasa yang ada dalam diri Khairul Hafiz Jantan, membuatkan jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim optimis anak didiknya itu mampu melakar kejutan dalam misi kembali bergelar raja pecut Asia Tenggara pada Sukan Sea Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan.

Poad berkata, prestasi yang ditunjukkan pelari berusia 25 tahun itu bagaikan sudah pulih sepenuhnya daripada masalah kecederaan yang menghantuinya sebelum ini.

Katanya, latihan dan penyertaan dalam kejohanan di Australia selama tiga minggu bermula 16 Mac lalu banyak membantu meletakkan Khairul Hafiz yang diberi julukan ‘The Speedy Jantan’ untuk kembali berada pada tahap prestasi terbaiknya.

“Dari segi prestasi, atlet menunjukkan peningkatan terutama Khairul Hafiz. Dia dapat menunjukkan keyakinan dirinya selepas bergelut dengan kecederaan sebelum ini.

“Sebelum ke Australia, saya masih berhati-hati dalam latihan Khairul Hafiz. Selepas ini kita akan ikut perancangan yang sudah disusun dalam program latihannya bagi meningkatkan lagi tahap prestasinya untuk meghadapi Sukan Sea.

“InsyaAllah, saya yakin jika kami dapat memperbaiki beberapa kelemahan yang masih ada, akan ada kejutan nanti (daripada Khairul Hafiz),” kata Poad yang menjadi watak penting terhadap kejayaan Khairul Hafiz memenangi pingat emas Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

Muhammad Haiqal Hanafi yang muncul juara pecut 100m Kejohanan Olahraga Trek dan Padang KOM Januari lalu, turut berpeluang menebus kehampaan di Hanoi.

Khairul Hafiz memberi petanda awal kebangkitannya dengan meraih emas 100 meter (m) di Kejohanan Siri Shield: Darren Thrupp Shield di Queensland, 19 Mac lalu dengan catatan 10.34 saat (s) – catatan peribadi terbaiknya musim ini.

Pelari kelahiran Melaka itu turut melangkah sehingga separuh akhir Terbuka Australia, semalam sebelum mengakhiri saingan di kedudukan keenam.

Pada Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur, Khairul Hafiz mengejutkan juara bertahan yang juga pilihan utama ketika itu, Eric Cray dari Filipina untuk memenangi emas.

Di Kemboja kali ini,  anak didik Poad itu akan bersaing dengan pelari pecut Thailand, Puripol Boonson yang diletakkan sebagai pilihan utama selepas muncul juara Sukan Sea Hanoi di Vietnam tahun lalu dengan catatan 10.44s.

Puripol mempunyai catatan peribadi terbaik 10.09s ketika melakukannya di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, Ogos tahun lalu.

Selain Khairul Hafiz, skuad olahraga negara turut mempertaruhkan kepercayaan kepada Muhammad Haiqal Hanafi bagi menggalas cabaran dalam acara 100m di Kemboja.

Kuartet 4x100m dibarisi Muhamamd Zulfiqar Ismail, Jonathan Nyepa, Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan turut meraih emas di Terbuka Australia, Brisbane dengan catatan 39.96s, menewaskan Singapura.