KEJAYAAN memenangi pingat perak di Kejohanan Jet Ski Antarabangsa Kemboja 2022 tahun lalu, meningkatkan keazamaan pelumba jet ski negara, Norfirdaus Rafie.

Selain pingat perak yang dimenangi menjadi penanda aras untuk memburu emas di Sukan Sea Kemboja Mei depan, pengalaman beraksi di litar sama iaitu di pantai Sihanoukville, meningkatkan lagi keyakinan Norfirdaus yang lebih selesa dengan panggilan ‘Boy’.

“Saya berpangkalan di Lumut dan hari ini kira jalani latihan di Tasik Biru (Kundang). Latihan tidak seperti hari-hari biasa kerana kita berpuasa, jadi setiap hari saya akan turun berlatih di pantai Lumut.

“Latihan dilakukan lewat petang, lebih mudah selepas latihan terus berbuka puasa,” kata Norfirdaus yang mahu meraih pingat emas di Kemboja nanti.

Norfirdaus Rafie bersama pasukannya datang dari Lumut untuk menjalani latihan di Tasik Biru, Kundang.

Menurutnya, dua minggu awal berpuasa menjadi tempoh mendapatkan stamina dan meningkatkan keupayaan kawalan di atas permukaan air kerana pada aksi di Sihanoukville nanti, saingan lebih getir kerana berlumba di laut terbuka iaitu Laut China Selatan.

“Sebenarnya saya amat gemarkan laut terbuka kerana saya juga sentiasa berlatih di Lumut.

“Lebih besar gelora, saya rasa lebih tinggi peluang untuk saya menang. Ini kerana cabaran bukan sahaja datang dari pencabar lain sebaliknya keadaan laut itu sendiri,” katanya.

Kejayaan di Sihanoukville , Kemboja tahun lalu membakar semangat Norfirdaus Rafie untuk memburu emas di Temasya Sukan Sea Kemboja.

Jet Ski baru kali pertama diperkenalkan di Sukan Sea, menawarkan enam pingat emas untuk dimenangi dan Malaysia menyertai lima daripadanya dengan menghantar enam pelumba.

Sementara Norfirdaus pula hanya akan beraksi dalam satu kategori, Endurance Runabout  Open.

Norfirdaus Rafie mengharapkan laut di Sihanoukville bergelora pada hari pertandingan, kerana gemarkan cabaran dalam perlumbaan Jet Ski.

Pada Mei 2022, Kemboja menganjurkan Kejohanan Jet Ski Antarabangsa Kemboja 2022, sebagai kejohanan ujian menjelang Sukan Sea, Mei depan, menyaksikan Norfirdaus muncul naib juara di belakang pelumba tuan rumah.

Selain pelumba tuan rumah, Norfirdaus sedar, pencabar utama pingat emas akan datang daripada Thailand dan Indonesia kerana negara terbabit memiliki pelumba berkelas dunia yang berlumba secara profesional di kejohanan antarabangsa di seluruh dunia.

ARTIKEL BERKAITAN : Sukan SEA 2023 : Jet Ski sasar bawa pulang satu kilauan pingat