AMBIL ubat lelah di farmasi sewaktu jalani kem latihan di Cameron Highlands antara penyebab dua atlet angkat berat Terengganu, gagal ujian doping menjelang saingan Sukan Malaysia (SUKMA).

Presiden Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Terengganu (PBBABT) Mohd Shafaruddin Mustaffa  berkata, dua atlet terbabit mengalami masalah kesihatan lelah dan juga kecederaan bahu.

“Dalam kem latihan di Cameron Highland, seorang atlet alami lelah dan mengambil ubat untuk membuka saluran pernafasan, manakala seorang lagi alami kecederaan bahu, mengambil ubat tahan sakit.

“Selepas dapat tahu positif doping, kami segera mengambil butiran ubat yang digunakan dan meneliti senarai uabtan mengikut peraturan ADAMAS (Agensi Anti Doping Malaysia). Barulah kami sedar bahawa kandungan ubat itu tidak dibenarkan,” kata Shafaruddin.

Skandal doping yang dialami skuad angkat berat Terengganu adalah yang kedua selepas insiden di temasya sama di Perak empat tahun lalu, melibatkan Nurul Afiqah positif bahan terlarang methylexanamine hingga terpaksa hadapi penggantungan lapan bulan oleh Persekutuan Angkatan Berat Malaysia (PABM).

Pengarah ADAMAS Azura Abidin dalam satu kenyataan menyatakan, dua atlet Terengganu positif methandione manakala seorang atlet Perlis positif oxymetholone.

Mengikut ketetapan PABM, negeri yang atletnya terlibat skandal doping tidak bertanding namun Majlis Sukan Negara tetap membenarkannya kecuali atlet yang positif.

Justeru, PABM mengambil keputusan menarik diri daripada menganjurkan acara itu di SUKMA XX kali ini.