PENYUMBANG pingat emas pertama kontinjen Pahang, Muhammad Ikbolasen Md Kamal Hussain mahu menambah koleksi pingat dan mahu melupakan drama acara 10,000 meter (m) yang menyaksikan namanya tidak diiktiraf sebagai pemegang rekod baru Sukan Malaysia (SUKMA).
Sebaliknya, semangat atlet berusia 20 tahun itu lebih berkobar-kobar mahu mengharumkan nama Pahang, dan memburu dua lagi pingat emas di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini dan Sabtu.
Pelari jarak jauh itu mahu fokus sepenuhnya dalam acara 3,000m berhalangan dan 5,000 meter sekali gus mengharapkan prestasi sama dapat dikekalkan.
“Jurulatih meletakkan harapan yang tinggi kepada saya dan saya juga sentiasa bekerja keras dan tidak berputus asa ketika menjalani latihan. Apabila sudah berada di atas balapan, saya hanya fokus untuk mencatat pencapaian terbaik seperti dilakar pada hari ini.
“Sudah tentu ada sedikit rasa kecewa (rekod tidak diiktiraf) tetapi saya anggap ini mungkin bukan rezeki saya. Apapun, saya tidak akan berputus asa dan akan terus bersemangat untuk memberikan yang terbaik bagi dua lagi acara yang ditandingi,” katanya.
Catatan 31 minit 11.62 saat (s) yang dilakukannya tidak diiktiraf sebagai rekod kejohanan walaupun mengatasi catatan A Munusamy yang melakukan 31:47.95s di Sukma Pahang 1996. Ini disebabkan ketetapan yang dibuat Majlis Sukan Negara (MSN) untuk tidak mengiktiraf sebarang catatan sebagai rekod baharu memandangkan had umur edisi kali ini dilanjutkan sehingga 23 tahun.
Petang ini, Ikbolasen akan turun beraksi dalam acara 3,000m berhalangan, manakala satu lagi acaranya, 5,000m akan berlangsung pada Sabtu.