KEGAGALAN  melakukan lompatan sempurna di Sukan Komanwel Birmingham ditebus atlet lompat kijang negara, Andre Anura Anuar apabila beraksi dengan baik ketika memenangi pingat emas lompat kijang, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Emas terbabit yang kedua diraihnya selepas memenangi acara lompat jauh, kelmarin.

Andre, 23, mengunggli temasya Sukan Malaysia (Sukma) dengan lompatan 16.43m.

Atlet dari Sabah itu berpuas hati dengan lompatannya selepas kecewa di Birmingham tanpa catatan jarak kerana tiga lompatannya dibatalkan.

“Berpuas hati kerana kali terakhir saya lompat 16.51m ketika menang pingat emas Sukan SEA Hanoi 2021. Saya juga dapat kekalkan emas yang saya menangi pada Sukma 2018 di Ipoh, Perak.

“Habis Sukma saya boleh ‘off season’ lebih awal untuk persediaan conditioning secukupnya. Tahun depan saya ada banyak kejohanan besar seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Universiti Dunia (Universiade),” katanya.

Pingat perak dimenangi atlet Selangor, Muhammad Izzul Haniff Mohd Raffi dengan catatan 15.56m, manakala gangsa menjadi milik Brendon Ting Li King dari Sarawak (15.14m).

Kelmarin, Andre memenangi pingat emas pertamanya di pentas Sukma 2022 dalam acara lompat jauh menerusi lompatan sejauh 7.40m.