BAGAI tidak terungkap kata-kata selepas Kelantan memenangi pingat emas pertama dalam sukan skuasy di temasya Sukan Malaysia XX (SUKMA) hari ini.

Gandingan mantap beregu lelaki Wee Ming Hock-Muhammad Amir Amirul Azhar itu, mengungkap pelbagai makna, secara peribadi mahupun buat kemajuan sukan di negeri itu sendiri.

Bagi Ming Hock, terlalu banyak pengorbanan keluarganya yang berusaha menyediakan kewangan bagi memastikan dirinya terus bermain skuasy, selepas terkeluar dari skuad kebangsaan, akibat masalah kewangan dihadapi Majlis Sukan Negara (MSN).

“Saya harap pencapaian ini menjadi titik tolak kepada masa depan saya dalam skuasy. Saya nak sangat menyertai semula skuad kebangsaan kerana saya sememangnya fokus kepada kejohanan perseorangan.

“Selepas ini, saya harap dapat menewaskan satu persatu pemain senior yang berada dalam program podium untuk mengembalikan temapt saya dalam skuad kebangsaan,” kata Ming Hock.

Pemain terbabit  terkeluar dari skuad kebangsaan sejak 2018, dan sejak itulah keluarga menjadi tulang belakang membiayai perjalanannya meneruskan kerjaya sebagai pemain skuasy professional.

Menurutnya, tidak terkira jumlah perbelanjaan ditanggung sendiri bagi menyertai kejohanan di pentas antarabangsa.

“Banyak sangat guna duit sendiri pergi kejohanan sejak 2018. Say sertai pelbagai kejohanan di Australia, Singapura, Hong Kong, New Zealand dan banyak lagi,” katanya.

Ming Hock kini berusia 21 tahun, menyimpan cita-cita besar untuk menempatkan dirinya dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia dan dia yakin mampu merealisasikannya.

Amir yang berusia 19 tahun juga mempunyai impian sama untuk beradad alam kelompok 10 terbaik dunia.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan, Shamsul Bahary Salleh berkata, penantian 30 tahun sejak bergelar pemain skuasy 1992, akhirnya berbaloi selepas negeri Cik Citi Wan Kembang itu memenangi pingat emas pertama sukan skuasy.

“Selama ini kita hanya dapat perak dan gangsa. Saya harap pencapaian ini menjadi titik tolak untuk kemajuan skuasy Kelantan, apa lagi kami akan menjadi tuan rumah pada 2026 nanti,” katanya.

Terdahulu, gandingan Ming Hock-Amir mengejutkan pilihan kedua kejohanan dari Kedah Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif-Ong Sai Hung.

Mereka menang ke atas dua finalis perseorangan lelaki SUKMA XX itu dengan mata 11-9, 9-11, 11-9.