“KAMI hanya jangka mara ke separuh akhir sahaja, tak sangka pula boleh dapat pingat emas,” kata Harith Danial.
Dia yang bergandingan dengan Nathalie Sim dalam beregu campuran meraih pingat emas buat Sarawak, dalam pertemuan final dengan rakan sepasukan Nathan Kueh-Ma Si Yi.
Harith berusia 16 tahun, kini berada dalam skuad kebangsaan gembira apabila rutin setiap kali pulang ke Sarawak, dia menjalani latihan bersama Nathalie, membuahkan hasil.
“Saya baru dua tahun sertai skuad kebangsaan berharap dapat teruskan prestasi terbaik,” katanya.
Sementara itu, gandingan adik beradik Aifa dan Aira Azman, menepati ramalan apabila mudah memenangi emas selepas menundukkan pasangan Sabah Lai Wen Li-Yee Xin Ying11-10, 11-6.
“Ini adalah emas keempat Aifa sepanjang empat tahun sertai SUKMA. Secara keseluruhannya Aifa mengumpul pingat emas masing-masing satu dalam beregu wanita dan perseorangan wanita dan dua berpasukan.
“Tahap saingan di sini agak bagus, terutamanya dalam acara beregu,” katanya yang membantu Kontinjen Kedah memenangi dua pingat emas dan dua perak hari ini.