KEJAYAAN mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super awal Julai lalu pastinya menjadi tonik terbaik buat pasukan Melaka United FC bagi menghadapi lawan yang sama pada saingan suku akhir Piala FA di Stadium Hang Jebat pada Sabtu.

Melaka United juga kini berada pada tahap yang terbaik apabila tidak tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut dan kelebihan beraksi di laman sendiri pastinya akan digunakan untuk layak ke peringkat separuh akhir.

Pengendali Melaka United, Asri Ninggal menyatakan dia akan menyediakan pasukan terbaik untuk menghadapi JDT dengan kesemua pemain yang diberikan peluang bermain harus memberikan 100 peratus usaha dan fokus dalam perlawanan.

Dengan kehadiran penyokong yang ramai dengan dikhabarkan sudah lebih 10,000 tiket terjual, ianya pasti menambah semangat para pemain untuk memberikan aksi terbaik sekaligus menghantar JDT pulang dalam saingan kalah mati ini.

Sementara itu di kem JDT pula, kehadiran semula penyerang utama, Bergson Da Silva dalam latihan pasukan menjadi pemangkin semangat buat skuad Harimau Selatan yang pastinya mahu memadam kekecewaan diikat tempoh hari.

Bergson yang mengalami kecederaan ketika beraksi di Stadium Hang Jebat pastinya mahu kembali menemui sentuhan jaringan selepas tidak beraksi dalam tiga perlawanan.

Kelibat pemain warisan Indonesia, Jordi Amat juga kelihatan ketika sesi latihan dan adakah Melaka Bandaraya Bersejarah bakal jadi saksi Jordi melakukan debut di Liga Malaysia.

Melaka United akan bermain perlawanan ketujuh berturut-turut di laman sendiri manakala JDT pula bakal turut buat kali keempat berturut-turut di laman lawan dan Melaka dilihat mempunyai kelebihan dari sudut pemulihan pemain yang lebih pantas.

Namun begitu, JDT mempunyai kumpulan pemain yang cukup banyak dan berkualiti dengan kesemuanya bersedia diturunkan pada bila-bila masa dan tetap dapat memberikan keputusan positif buat Harimau Selatan seperti ditunjukkan ketika perlawanan menentang Penang FC tempoh hari.

Pastinya satu perlawanan yang menarik bakal disajikan oleh kedua-dua pasukan malam ini. Siapakah bakal muncul pemenang Derbi Selatan, sama-sama kita nantikan.

Ramalan kesebelasan utama:

Melaka United

Bryan See, Haziq Puad, Justin Baas, Fadhil Idris, Khairul Anuar, Sony Norde, Emmanuel Oti, Syukri Baharun, Wan Zaharulnizam, Adriano, Norshahrul Idlan

Johor Darul Ta’zim

Farizal Marlias, Shane Lowry, Shahrul Saad, Matt Davies, Corbin Ong, Natxo Insa, Afiq Fazail, Leandro Velasquez, Arif Aiman, Fernando Forestieri, Bergson Da Silva