PENGURUSAN Negeri Sembilan FC (NSFC) meletakkan sasaran untuk memperbaiki kedudukan dalam liga berbanding tahun lalu dengan kelompok pertengahan dilihat sebagai realistik untuk dicapai untuk musim Liga Super 2024-25.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC Faliq Firdaus memberitahu pasukan ini sekurang-kurang perlu perbaiki untuk kedudukan lebih baik berbanding tahun lalu.

“Hasil perbincangan antara ahli lembaga pengarah, kami perlu lebih baik berbanding tahun lepas dalam liga jadi tempat keenam hingga kelapan dilihat lebih realistik kerana kita mengakhiri liga di tangga kesembilan tahun lalu,” jelas Faliq.

Barisan pengurusan NSFC meletakkan sasaran kelompok pertengahan liga

Sasaran ini turut dipersetujui oleh Pengerusi NSFC, Tunku Syed Razman yang juga mahu mengembalikan semula kegemilangan pasukan Hobin Jang Hobin selepas terpalit pelbagai masalah pada saingan liga musim lalu.

“Kita tidak tahu dalam bola sepak apa sahaja boleh terjadi, oleh itu kami berharap dapat mengulangi pencapaian tempat keempat seperti ketika debut kami di Liga Super pada tahun 2022,” kata Tunku Razman dalam sidang media selepas sesi pengenalan pemain skuad NSFC di Nilai pada Sabtu.

Dalam majlis yang sama juga, NSFC telah memperkenalkan barisan penaja baharu dengan 16 syarikat telah diumumkan sebagai rakan kongsi kelab sekaligus mampu untuk menjana kewangan pasukan untuk musim ini.

Pengerusi NSFC, Tunku Syed Razman

Tunku Razman juga berharap dengan suntikan kewangan ini, ianya dapat membantu perjalanan kelab dengan lebih teratur dan segala masalah yang membelenggu musim lalu akan menjadi satu kenangan yang tidak perlu dikenang.

“Masalah lama itu akan menjadi kenangan yang sukar untuk kita lalui tetapi dengan kesungguhan yang kita lakukan musim ini, kami dilihat lebih baik dari sudut kewangan berbanding pasukan lain dalam liga ini,” katanya.

Selain memperbaiki kedudukan kewangan kelab, NSFC juga berjaya menaik taraf tempat duduk dan saliran di Stadium Tuanku Abdul Rahman bagi memastikan keselesaan para penyokong yang hadir memberikan sokongan.